Tuesday, December 6, 2022

Istilah negeri atau wilayah isu kecil, yang penting dapatkan hak Sarawak yang terhakis

Secara Rawak

KUCHING: Saranan bagi merujuk kepada kedudukan Sarawak sebagai sebuah wilayah apatah lagi sebagai sebuah negara dan bukan sebagai sebuah negeri adalah sangat subjektif.

Sambil menyatakan perkara tersebut agak sensitif, Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah di majlis rumah terbuka Aidilfitri di rumahnya di Petra Jaya pada Ahad berkata, adalah lebih penting memberi tumpuan kepada hak Sarawak kerana ia merupakan salah satu pihak yang menandatangani Perjanjian Malaysia 1963.

“Tidak seperti Negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu di Semenanjung Malaysia, mereka menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 sebagai satu entiti, manakala Sarawak menandatanganinya sebagai satu lagi entiti, Sabah entiti lain selain Singapura,” kata Karim.

Menurut Karim, dari aspek perundangan, ia harus dipanggil persekutuan negeri.

Sebelum ini, Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian menimbulkan isu selepas menyarankan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem agar merujuk Sarawak sebagai sebuah wilayah dalam Malaysia dan bukan negeri dalam persekutuan apabila berunding dengan Kerajaan Persekutuan berkaitan isu penurunan kuasa.

Karim yang juga Menteri Muda Belia dan Sukan berpendapat bahawa Sarawak masih dapat menganggap diri sebagai sebuah negeri kerana ia adalah sebahagian daripada Malaysia.

“Sarawak masih boleh dianggap sebagai sebuah negeri, tetapi ia adalah sebuah negeri dalam satu kesatuan dalam sebuah konfederasi.

“Sama ada kita harus menganggap diri sebagai sekadar Sarawak atau sebuah negeri, bagi saya itu perkara kecil.

“(Yang) lebih penting sekarang ialah ketika kita menandatangani Perjanjian Malaysia, terdapat hak tertentu yang kita sudah persetujui dan hak ini terhakis sejak 53 tahun lalu dan kita mahu mengembalikannya,” katanya.

Karim berharap agar Sarawak mendapat semula haknya yang terhakis dan beliau menyokong usaha yang dilakukan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dalam menuntut penurunan kuasa berkaitan isu autonomi Sarawak. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru