SIBU: Satu pakatan politik baharu akan muncul menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Adakah kehadiran pakatan pembangkang berkenaan bakal menggugat kedudukan Pakatan Harapan di Sarawak dan Sabah?

Kini, Pakatan Harapan terdiri daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah.

Sebuah pakatan atau gabungan baharu  yang dikenali sebagai Gabungan Rakyat Saksama (Saksama) ditubuhkan untuk menentang BN dalam pilihan raya yang dijangka diadakan seawalnya akhir tahun depan dan selewat-lewatnya April 2018.

Menurut presiden Sarawak Reform Party (Star) Lina Soo dalam satu sidang akhbar di sini semalam, gabungan yang terdiri daripada tujuh buah parti politik berpangkalan di Sarawak, Sabah dan Semenanjung itu akan dilancarkan dalam waktu terdekat.  

Beliau berkata kemunculan pakatan politik baharu adalah perlu memandangkan Pakatan Harapan tidak memberi kesan.

Ia gagal memberi saingan dan cabaran kepada BN, apatah lagi parti pembangkang berpecah sehingga menguntungkan BN, katanya.

Saksama  terdiri daripada  Star, Parti Bansa Dayak Sarawak Baru, Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan), Parti Sejahtera Angkatan Perpaduan Sabah (SAPU),   Malaysia United People’s Party (MUPP) , Parti Kebangsaan Sabah (PKS), dan  People’s Alternative Party dari Semenanjung.  

Difahamkan, gabungan itu telah mengemukakan permohonan kepada Pendaftar Pertubuhan untuk mendaftarkannya.

“Kami akan muncul sebagai kuasa politik alternatif kepada BN,” katanya.

Star pimpinan Soo menampilkan 11 calon dalam pilihan raya negeri 7 Mei lalu, dan semua mereka tewas.

Penganalisis politik berkata, kemunculan pakatan pembangkang baharu itu tidak akan banyak memberi kesan, terutama kepada BN.

“Pakatan  pembangkang baharu itu tidak akan juga dapat menggugat kedudukan pakatan pembangkang sedia ada, terutama DAP yang sudah lama bertapak di Sarawak,” katanya.

Lagipun, ia tidak mungkin dapat menyaingi BN dari segi kepemimpinan, calon, jentera akar umbi dan sumber, terutama dari segi kewangan.

“Jadi bagaimana mungkin ia dapat menjadi alternatif yang lebih baik? Kecualilah ia dapat mengemukakan naratif politik dan agenda yang jauh lebih baik, praktikal dan meyakinkan,” katanya. – Sarawakvoice.com