Wednesday, November 30, 2022

Cadangan Presiden SUPP bawa banyak kemudaratan daripada kebaikan

Secara Rawak

KUCHING:  Cadangan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP)  Datuk Dr Sim Kui Hian supaya perkataan negeri digugurkan bagi merujuk kepada Sarawak, bukan sahaja tidak masuk akal tetapi membawa lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan.

13427918_894150224041636_879873989091308399_nNaib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) See Chee How berkata, merujuk Sarawak sebagai wilayah dalam Malaysia, dan bukan sebagai negeri sebenarnya membawa banyak keburukan dalam proses evolusi nasionalisme Sarawak.

Pada Sabtu lalu, dalam satu majlis pelancaran buku berkaitan dengan pembentukan Malaysia di sini, Dr Sim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan menggesa agar kerajaan negeri Sarawak tidak menggunakan perkataan ‘negeri’ ketika berurusan dengan kerajaan persekutuan.

Malah, beliau mencadangkan agar Dewan Undangan Negeri Sarawak hanya dirujuk sebagai Dewan Undangan Sarawak.

Bagi Dr Sim, Sarawak merupakan satu daripada wilayah ketika Malaysia dibentuk pada 1963.

Jadi, yang paling sesuai ialah menggunakan perkataan wilayah!

Sebenarnya, Ketika Malaysia dibentuk ia terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak, namun pada 1976 Perlembagaan Persekutuan dipinda menjadikan Malaysia terdiri daripada 13 negeri dan Wilayah Persekutuan.

Perkara yang dibangkitkan oleh Dr Sim itu bagi sesetengah orang bukan sahaja tidak masuk akal, tetapi menunjukkan pemahamannya yang cetak tentang sejarah pembentukan Malaysia, dan adalah agak ‘remeh’ sedangkan beliau sepatutnya, membangkitkan perkara yang lebih signifikan.

Malah, jika cadangan itu diamalkan, ia dianggap sebagai langkah berundur ke belakang sedangkan sebagai salah satu negeri dalam sistem persekutuan, setiap negeri haruslah bekerjasama membina sebuah negara bangsa, dan bukan bersikap parokial, kenegerian dan kewilayahan.

“Dalam Persekutuan Malaysia, kita amalkan persekutuan berpelembagaan. Perlembagaan Persekutuan adalah ‘agung’  dan ia menyatakan Persekutuan terdiri daripada 13 negeri dan Wilayah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.  

Kata See yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Lintang: “Sarawak dirujuk sebagai ‘Negeri’ bukan selepas pembentukan Malaysia. Ia dirujuk sedemikian dalam Perjanjian Malaysia yang dimuktamadkan dan ditandatangani pada 19 Julai.”

See menjelaskan Artikel 1 dalam Perjanjian Malaysia, Negeri Sarawak, Sabah dan Singapura digabungkan dengan Persekutuan Malaya, dan persekutuan itu kemudiannya dikenali sebagai‘Malaysia’.

IMG_2325Sementara itu, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata, pimpinan Barisan Nasional perlu mendesak pemulihan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan setaraf dalam persekutuan Malaysia.

Mengulas kenyataan Dr Sim, Chieng Jen berkata gesaan kepada warga Sarawak untuk tidak lagi merujuk Sarawak bukan sebagai salah satu negeri di Malaysia adalah tidak memadai.

“Tidak ada gunanya Kui Hian terjerit-jerit di luar Parlimen semata-mata untuk menarik perhatian orang ramai,” katanya seperti dilapor Free Malaysia Today.

“Pindaan ke atas perlembagaan adalah lebih bermakna. Sekiranya Kui Hian dan pimpinan BN lain percaya akan hal ini, mereka perlu desak pemulihan status asal Sabah dan Sarawak,” katanya.

Chieng Jen berkata DAP menyokong penuh pemulihan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan setaraf dalam Persekutuan.

“Tak lagi berbangkit isu tak peroleh undi majoriti 2/3 di Parlimen. Sekiranya BN mengusulkannya, DAP akan beri sokongan penuh dan cukupkan kuorum 2/3 itu.” – Sarawakvoice.com

BACA JUGA: Tiada Sarawak, tiadalah duit untuk negara, kata Tengku Mahkota Johor

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru