Wednesday, June 29, 2022

Tidak berdisiplin dan tidak berhemah di jalanan punca kemalangan maut , tiada kerja-kerja penyelenggaraan jalan sewaktu musim perayaan – Fadillah

Secara Rawak

KUCHING: Sikap dan disiplin pemanduan di jalan raya menjadi punca kebanyakan kemalangan maut di negara ini, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof semalam.

Beliau yang sedih kerana tragedi ini masih banyak berlaku ketika rakyat seharusnya ceria pada musim perayaan, sikap tersebut perlu ditukar kerana apabila berada di atas jalan raya, nyawa semua pihak termasuk diri sendiri harus menjadi keutamaan.

“Kita di peringkat kerajaan telah melakukan pelbagai usaha. Di peringkat kementerian saya misalnya, arahan telah dikeluarkan agar tidak ada kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan dijalankan sepanjang musim perayaan, kecuali apabila berlakunya kecemasan seperti jalan retak dan tanah runtuh.

“Malah kita juga meminta pemandu untuk mengurangkan had laju namun tragedi yang mengorbankan nyawa ini masih juga berlaku,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitrinya di PJ Heights, Jalan Sultan Tengah dekat sini semalam.

Kata Fadilah, kementerianya sentiasa mengambil berat akan isu ini, dan kerana itulah sebelum tiba musim perayaan, kebanyakan jalan-jalan raya di negara ini telah dilaksanakan proses naik taraf supaya dapat memberi jaminan keselamatan dan keselesaan kepada pengguna jalan raya.

Oleh itu, ketika orang ramai mula kembali ke kota bermula semalam, semua pihak perlu menanam iltizam untuk menjadi seorang pengguna jalan raya yang berhemah, berdisiplin serta mematuhi segala arahan dan juga peraturan lalu lintas.

“Ini akan dapat membantu mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya termasuk kemalangan maut,” katanya.

Dianggarkan lebih 15 ribu pengunjung hadir ke rumah terbuka tersebut, sejak jam 9 pagi tadi semalam.

Selain dihiburkan dengan persembahan salawat dan nyanyian, pengunjung turut disajikan dengan hidangan tradisi seperti mi kolok, laksa Sarawak, nasi minyak dan air batu campur Swee Kang. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru