Sunday, August 14, 2022

Penyebar maklumat palsu, alami sakit mental

Secara Rawak

Apa yang seronoknya menyebarkan maklumat palsu? Menyebarkan maklumat pada zaman sekarang bukannya sukar. Sesiapa sahaja dapat menyebarkan maklumat sesuka hatinya dengan mudah dan pantas.

Dua hari lalu, terdapat maklumat palsu yang tersebar melalui media sosial berkaitan dengan kawasan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur sebagai sasaran pengganas.

Maklumat berkaitan dengan keselamatan adalah sesuatu yang sensitif, dan penerimanya akan mudah terpengaruh. Maklumat sedemikian cepat tersebar kerana tidak ada orang yang mahu mati katak.

Semua orang sayangkan nyawa. Tidak ada yang mahu berada di tempat yang salah pada waktu yang salah. Penyebaran maklumat palsu itu berlaku di sebalik kejadian pengeboman di Puchong, Solo, Istanbul dan Dhaka. Ini menyebabkan orang ramai berasa perlu berwaspada bagi mengelak menjadi mangsa.

Soal ancaman keselamatan bukan  isu main-main. Banyak implikasinya kalau dikatakan sesuatu kawasan atau bangunan berpotensi menjadi sasaran bom dan sebagainya. Keganasan merupakan satu ancaman global.

Pesanan palsu itu menyenaraikan  antara lain, Publika, Bangsar, The Curve, Mid Valley, “Kuala Lumpur Centre”, Menara KL, Hartamas, Bukit Bintang dan stesen-stesen LRT sebagai sasaran.

Beberapa kawasan dalam senarai itu sama dengan kawasan tumpuan yang dinyatakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor Januari lalu sebagai sasaran pengganas, susulan siri serangan di Jakarta.

Maklumat atau berita berkaitan bukan sahaja boleh menyebabkan warga panik dan tertekan, tetapi memberi gambaran bahawa negara ini tidak selamat.

Jadi, sudah sewajarnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memburu dalang amaran palsu kawasan sasaran pengganas IS.

Tindakan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikannya sebagai palsu memang wajar sebelum ia mempengaruhi rakyat.

Sesungguhnya, maklumat sedemikian mudah menjadi viral.

Tindakan tegas perlu diambil terhadap individu terbabit bagi memberi mesej yang jelas kepada pengguna media sosial lain supaya tidak main-main dengan isu keselamatan.

Individu yang mendapat keseronokan daripada perbuatan menyebarkan berita sedemikian memang wajar dijejaki sehingga ke lubang cacing.

Individu berkenaan bukan sahaja pendek akal, tetapi tidak berakal.

Malah, boleh dikatakan sakit mental. Dia tidak mempedulikan kesannya terhadap orang ramai dan imej negara. Yang penting, dia mendapat kepuasan dan keseronokan.

Bagi menjamin bahawa perkara sedemikian tidak berlaku secara berleluasa, maka tindakan tegas perlu diambil. Heretkan mereka ke muka pengadilan di bawah undang-undang sesuai. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru