Saturday, May 21, 2022

Penuhi kerusi percuma, sokong Sarawak gapai juara SUKMA XVIII

Secara Rawak

KUCHING: Warga Bumi Kenyalang diseru datang memberi sokongan dan semangat kepada atlet Sarawak dalam misi mereka memburu gelaran juara kali keempat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA XVIII).

SUKMA XVIII berlangsung di Sarawak bermula 23 hingga 31 Julai ini menggunakan maskot rasmi Satria dan Satrina.

Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berharap warga Sarawak bersedia memenuhi tempat duduk percuma bagi menyokong atlet kontinjen negeri dalam acara berlangsung di sekitar Kuching, Kota Samarahan, Sibu dan Miri.

“Kita mahu Sarawak muncul juara kali ini… kali terakhir kita juara ialah 1994,” kata Hamzah di rumahnya di Jalan Astana sempena sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri.

Selaku Ketua Kontinjen Sarawak, Hamzah berkata mereka bertungkus-lumus mencapai sasaran mengutip 72 pingat emas untuk muncul juara.

Sarawak sedia memberi saingan hebat kepada tiga pesaing terdekat iaitu juara bertahan Terengganu selain Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Temasya bertemakan “Perpaduan Dalam Kepelbagaian” disertai 6,000 atlet dan pegawai serta pegawai dari seluruh negara dibantu 1,000 sukarelawan yang berkampung selama 10 hari di Sarawak.

Sejumlah RM400 juta dibelanjakan untuk membina prasarana sukan termasuk menambah baik fasiliti sedia ada.

Turut dibina Pusat Akuatik bernilai RM200 juta selain kemudahan boling, lapang sasar, pusat skuasy baharu dan gelanggang bola tampar di Sibu.

Sebanyak 24 acara sukan dipertandingkan antaranya petanque, gimnastik, pelayaran, akuatik, golf, angkat berat, tinju, badminton, berbasikal, bola sepak, hoki, karate, boling padang, olahraga, memanah, menembak, tenis, silat, sepak takrawa, boling, wushu, taekwando, bola tampar dan skuasy.

Majlis perasmian 23 Julai disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 23 Julai ini.

Manakala, majlis penutupan dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 31 Julai di Stadium Sarawak. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru