Thursday, May 19, 2022

PBB perlu utamakan konsep perkongsian kuasa

Secara Rawak

KUCHING: Pendirian Presiden Parti Rakyat Sarawak memang konsisten.

Tan Sri Dr James Jemut Masing tidak bersetuju Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) membolot semua sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang tidak mempunyai parti.

Adun berkenaan telah bertanding sebagai calon langsung Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri pada 7 Mei lalu.

Justifikasi Dr James yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak ialah betapa pentingnya konsep perkongsian kuasa diutamakan dalam BN.

Sambil mengakui parti pimpinannya menghormati keputusan diambil sembilan Adun terbabit, Dr James Masing berkata, konsep perkongsian kuasa perlu diberi perhatian, dan jangan dikesampingkan.

Katanya: “Saya fikir, ini isu yang amat penting. Justeru, kita perlu ambil kira konsep ini dalam membuat keputusan mengenai sembilan wakil rakyat tanpa parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PRS di ibu pejabat parti di sini, semalam.

Beliau berkata, konsep perkongsian kuasa telah menjadikan Sarawak negeri aman dalam Malaysia, dan mahu semua pihak tidak melupai hakikat itu.

Dr James Masing berkata, sekiranya Ketua Menteri mempunyai pengaruh terhadap keputusan sembilan Adun terbabit, maka beliau perlu mengambil kira konsep perkongsian kuasa.

Implikasi kenyataan Dr James Masing itu, menurut seorang pemerhati politik ialah, PBB tidak harus membolot kesemua wakil rakyat berkenaan, kalau tidak parti tulang belakang BN itu akan menjadi begitu dominan.

Justeru, tidak hairan satu daripada perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat PRS ialah berkaitan isu sembilan wakil rakyat berkenaan.

Kelmarin, Adenan berkata beliau mahu mendapat pandangan dan nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkaitan isu berkenaan.

Rabu lepas, Setiausaha Agung PBB, Datuk Stephen Rundi Utom berkata, mesyuarat majlis tertinggi parti akan diadakan dalam waktu terdekat bagi membincangkan isu berkenaan.

Sementara itu, PRS akan mengadakan Mesyuarat Agung Tritahunan pada 22 dan 23 Ogos di Bintulu, dengan semua jawatan dalam parti dibuka untuk dipertandingkan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru