Wednesday, June 29, 2022

Jangan sebar mesej palsu ancaman Daesh atau terima tindakan tegas – Zahid

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam mengingatkan golongan yang tidak bertanggungjawab di negara ini agar tidak menyebarkan maklumat palsu dan yang tidak sahih mengenai Daesh di media sosial.

Jika masih berdegil, pihak yang berkenaan akan diklasifikasikan sebagai mengganggu ketenteraraman awam dan akan berhadapan tindakan tegas.

“Penyebaran maklumat tidak sahih ini akan hanya menimbulkan kegusaran serta ketakutan kepada orang ramai. Kerana itu ia perlu dihentikan serta-merta,” kata Timbalan Perdana Menteri itu sewaktu ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitrinya di Sri Satria di sini.

Jelasnya, sebarang maklumat rasmi mengenai militan itu akan dikeluarkan oleh pihak yang berautoriti seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi penguatkuasaan lain.

“Jangan merujuk laporan media sosial sebagai sandaran untuk keselamatan rakyat dan negara.

“Apa jua maklumat yang disebarkan tanpa disahkan pihak penguatkuasaan akan hanya menimbulkan kegusaran dan membawa masalah ketenteraman kepada negara,” katanya.

Isu ini timbul berikutan tersebarnya berita yang mengatakan beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor akan menjadi sasaran pengeboman militan ini, hingga pihak berkuasa perisikan Amerika Syarikat mengeluarkan amaran kepada rakyatnya agar tidak berkunjung ke beberapa lokasi yang disebut.

Berita palsu yang menjadi viral ini menyebabkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar terpaksa membuat penafian di twitternya bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang amaran ancaman bom.

Berita palsu itu menyebut, antara lokasi yang dikatakan berisiko untuk diletupkan Daesh termasuklah pusat beli-belah The Curve dan Publika, Bangsar, Bukit Bintang, Hartamas, serta Menara Kuala Lumpur.

Turut menerima ancaman adalah kawasan tumpuan seperti stesen-stesen LRT, Menara Berkembar Kuala Lumpur, Mid Valley, Pavilion, Jalan Alor dan Jalan Petaling. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru