Saturday, October 8, 2022

Jangan gunakan negeri Sarawak, cadangan terlebih pintar Presiden SUPP

Secara Rawak

KUCHING: Cadangan yang pintar, malah terlebih pintar.

Jangan gunakan perkataan negeri Sarawak apabila berurusan dengan kerajaan persekutuan berkuat kuasa serta-merta.

Malah, Dewan Undangan Negeri Sarawak perlu diubah menjadi Dewan Undangan Sarawak,  dan jangan gunaskan Kerajaan Negeri Sarawak, sebaliknya gunakan Kerajaan Sarawak.

Itulah cadangan presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Dr Sim Kui Hian.

Justifikasi Dr Sim? Sarawak tidak wajar dianggap sebagai sebuah negeri dalam persekutuan Malaysia, kerana dari segi sejarah, apabila Sarawak sama-sama membentuk Malaysia, ia wujud sebagai rakan kongsi sama.

Malaysia dibentuk pada 16 September 1963 dengan dianggotai Sarawak, Sabah, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu.

Dr Sim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan berkata, apabila Sarawak masih dirujuk sebagai sebuah negeri dalam Malaysia apabila menyentuh isu autonomi ia dianggap sebagai tidak konsisten.

“Sarawak perlu dirujuk sebagai Sarawak sahaja mulai sekarang, dan bukannya negeri Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran buku “The Grand Design”  susunan Zainnal Ajamain di Ibu Pejabat SUPP di sini, semalam.

dr sim pandai-0000

Buku itu memuatkan tiga dokumen bersejarah yang amat penting, iaitu Laporan Suruhanjaya Cobbold 1962, Perjanjian Malaysia 1963, dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan.

Dengan itu, beliau menegaskan, dapat membuktikan komitmen dan kesungguhan Sarawak memperjuangkan autonomi.

Sejak menerajui kepemimpinan Sarawak, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem telah menuntut autonomi Sarawak yang dikatakan telah terhakis sejak 53 tahun lalu.

Menurut seorang pakar sejarah yang enggan disebut namanya, jika cadangan Dr Sim itu diguna pakai, implikasinya ialah, akan wujud negara dalam negara.

Sarawak sebagai sebuah negara berada dalam negara Malaysia.

Memang, kalau ikut sejarah, ketika Sarawak sama-sama membentuk Malaysia, ia wujud sebagai sebuah entiti atau “negara”.

Apabila sesebuah persekutuan dibentuk, seharusnya ada kompromi, dengan ada yang dileburkan.

Cadangan Dr Sim dianggap berundur ke belakang ketika negara sepatutnya melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara bangsa, dan bukannya bersifat parokial, kenegerian dan kewilayahan.

Sebagai satu daripada kuasa autonomi, Adenan telah mengisytiharkan 22 Julai sebagai Hari Sarawak, sebagai apa yang dianggap  hari kemerdekaan Sarawak walaupun pakar  dan pengkaji sejarah menegaskan, 22 Julai bukan hari kemerdekaan Sarawak.

Dengan 22 Julai diisytiharkan sebagai hari kemerdekaan, maka Sarawak mungkin satu-satunya negeri atau “negara” yang mempunyai tiga tarikh kemerdekaan dan cuti umum untuk tujuan yang sama, iaitu 22 Julai, 31 Ogos, dan 16 September. Ini merupakan rekod yang seharusnya orang Sarawak dapat banggakan! – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru