Sunday, January 23, 2022

Jambatan hubung bulatan Emart Matang-Jln Stapok rancak disiapkan

Secara Rawak

KUCHING: Bagi membantu serta mencari inisiatif untuk menyelesai dan mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di bandar raya Kuching, sokongan serta dana dari kerajaan pusat amat diperlukan.

Dalam pada itu, Kementerian Kerja Raya turut mencari inisiatif lain yang boleh dilaksanakan bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya khususnya di pusat bandar.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata salah satu alternatif adalah dengan meningkatkan kemudahan pengangkutan awam sama ada dari segi jalan raya atau kemudahan lain.

Bercakap pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya pada Sabtu, Fadillah berkata, “Ini akan kita bincangkan serta kita akan lihat perancangan jangka panjang dan sederhana di peringkat Kerajaan Negeri.

Bercakap berkaitan kesesakan di Jalan Matang, Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata, pembinaan jambatan menghubungkan bulatan Emart Matang menuju Jalan Stapok masih dalan proses penyiapan walaupun pelaksanaan sudah kelewatan akibat faktor cuaca tidak menentu.

Projek jambatan tersebut penting sebagai alternatif bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas khususnya pada waktu puncak di Jalan Satok atau bulatan Datuk Abang Kipali Abang Akip.

“Dengan siapnya jambatan tersebut, kita dapat meleraikan kesesakan lalu lintas yang menjejaskan pengguna khususnya di Jalan Matang,” kata Fadillah.

Menurut Fadillah, projek di bawah kementeriannya itu hanya siap kira-kira 19 peratus.

Akibat faktor cuaca tidak menentu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak memberi tempoh waktu lanjutan kepada kontraktor bertanggungjawab menyiapkannya.

Bercakap tentang perkembangan terkini, penyiapan sistem jalan raya di bulatan Datuk Abang Kipali di Petra Jaya yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri, Fadillah berkata ia rancak dilaksanakan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru