Sunday, August 14, 2022

Di mana Siti Rauwiyah, anak kedua Tambi Sultan – pentadbir Masjid India Kuching?

Secara Rawak

KUCHING: Melihat raut wajah keluarga ini, tidak siapa menyangka mereka adalah daripada keturunan India Muslim. Kebanyakan mereka telah mengasimilasi dalam masyarakat Melayu tempatan, dan sedikit demi sedikit hilang identiti keindiaan, baik pada wajah mahupun kulit mereka.

Kerana itulah buat pertama kalinya, generasi Tambi Sultan – bekas pentadbir Masjid India di sini – berusaha mengumpul sanak-saudara yang lama terpisah sempena sambutan Aidilfitri kali ini.

Diadakan di Penview Hotel semalam, majlis berlangsung dengan cukup meriah bagi meraikan keturunan mereka yang berasal dari Madras Cenggai, India.

Menurut pengerusi majlis, Abu Bakar Afundi, yang juga generasi ke-4 Tambi Sultan, pihaknya telah berusaha gigih mempertemukan generasi daripada kelima-lima anak Tambi Sultan untuk bersama-sama, selain berkenalan antara satu sama lain dan mengeratkan semula tali persaudaraan yang terputus sejak sekian lama.

“Ilham ini dicetuskan oleh anak cucu dan juga saudara saya iaitu Yusuf Haji Jalet dan diterima oleh seluruh anggota keluarga.

Menurutnya, sehingga kini keseluruhan generasi Tambi Sultan dianggarkan sebanyak 750 orang.

“Namun kita sedang mencari generasi seorang lagi anak Allahyarham iaitu Siti Rauwiyah, yang masih gagal dikesan hingga sekarang.

“Kami hanya dapat mengesan salah seorang cucu Rauwiyah iaitu Kapten Khairul Anuar yang menetap di Semenanjung.

Menurut Abu Bakar, sejarah Tambi Sultan ini sinonim dengan penubuhan Masjid India yang terletak di belakang deretan kedai di Lebuh India dekat sini.

“Tambi Sultan mengambil alih tempat Tambi Abu Bakar iaitu sepupunya yang mentadbir Masjid India pada tahun 1834.

“Pada tahun 1840, Tambi Sultan mentadbir Masjid India dan datang ke Sarawak dengan lima anaknya iaitu Mustapha Tambi Sultan, Siti Rauyah Tambi Sultan, Siti Aminah Tambi Sultan, Siti Julia Tambi Sultan dan Sharif Tambi Sultan.

“Kesemua lima anaknya tidak balik ke India, sebaliknya tinggal bermastautin di Kuching.

Menurut Abu Bakar, salah seorang daripada anak Tambi Sultan iaitu Sharif Tambi Sultan amat rapat dengan Rajah Brooke dan berkhidmat dengannya.

“Tambi Sultan malah pernah menyelamatkan Brooke daripada ancaman pemberontak Cina pada 1841 ketika rata-rata penduduk di negeri itu tidak menyukainya.

“Pemberontak-pemberontak tersebut terdiri daripada pelbagai bangsa dan Tambi Sultan telah bertindak menyelamatkan Raja Brooke dengan menyembunyikannya.

“Sebagai tanda terima kasih Brooke kepada Tambi Sultan, beliau telah menghadiahkan sebilah keris kepada Tambi Sultan dan keris tersebut masih dalam simpanan keluarga,” katanya.

“Selain mentadbir masjid, anak bongsu Tambi Sultan iaitu Sharif Tambi Sultan pernah menjadi “master” dalam pengajian Bahasa Inggeris di Sekolah Gersik dan berpendidikan dari SPG di St.Thomas School.

Anak Tambi Sultan yang ketiga iaitu Siti Aminah atau dikenali sebagai ‘Orang Kaya Siti Aminah’ pula mempunyai kedai di Jalan Padungan dan beliau membeli tapak tanah Surau Hidayatul Rahman di Kampung Gersik, yang ketika itu berharga $800 dollar.

Yang jelas kata Abu Bakar, misi Tambi Sultan ke Sarawak adalah untuk berkhidmat dalam bidang agama dan pendidikan bangsa, dan ini diteruskan oleh ramai pewarisnya.

Satu-satunya generasi ketiga Tambi Sultan yang masih hidup ialah Jalet Mantaris yang berumur 86 tahun dan pemburuan untuk mencari Siti Rauwiyah masih diteruskan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru