Monday, November 28, 2022

Wong Soon Koh perlu letak jawatan Menteri Kewangan Kedua, kata pemimpin SUPP

Secara Rawak

KUCHING: Datuk Sri Wong Soon Koh perlu meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan Kedua.

Sebabnya? Ahli Dewan Undangan Negeri Bawang Assan itu masih kekal bersama Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan nekad untuk terus memastikan parti serpihan Parti Rakyat Bersatu  Sarawak (SUPP) itu tidak dibubarkan.

Pembantu Ketua Penerangan SUPP, Milton Foo membuat gesaan tersebut melalui satu kenyataan di Kuching, semalam.

Bagi Milton, UPP bukan parti komponen Barisan Nasional (BN).

Sebelum pilihan raya 7 Mei lalu, calon UPP, seperti juga calon Teras yang bertanding atas tiket calon langsung BN telah diwajibkan meletakkan jawatan daripada parti masing-masing.

Malah, UPP dan Teras telah dibubarkan selepas pilihan raya itu. Namun Wong yang menjadi presiden UPP telah membuat kejutan dengan mengisytiharkan UPP masih wujud selepas tiga daripada Ahli Dewan Undangan Negerinya memohon untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Bagi Milton, Wong telah  tidak mengotakan janjinya yang dibuat setelah menjadi calon langsung, iaitu perlu meletakkan jawatan dari UPP, dan menyertai mana-mana parti komponen BN selepas memenangi pilihan raya.

Parti komponen BN Sarawak terdiri daripada PBB, Parti Rakyat Sarawak, SUPP dan SPDP. UPP menyifatkan dirinya sebagai mesra BN, selepas ditentang kemasukannya oleh SPDP, SUPP dan PRS.

Kata Milton: “Wong tidak patut lupa bahawa dia dipilih atas tiket BN dan ditaja jentera BN pada pilihan raya negeri ke-11 lalu sebelum dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua dalam Kabinet Negeri.”

Namun bagi Milton, dengan kembali semula beliau ke UPP, jelaslah bahawa Wong tidak menghormati janji BN sebelum ini.

“Kami percaya beliau tidak wajar menyandang mana-mana jawatan menteri dan perlu meletakkan jawatannya,” katanya.

Menjelang pilihan raya lalu, Milton telah mencetuskan kontroversi apabila mengkritik tindakan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem menampilkan 13 calon langsung BN, tanpa perundingan dengan parti komponen.

Beliau menyifatkan tindakan itu  sebagai melanggar perjanjian dengan parti komponen dan mengetepikan kesetiaannya terhadap BN.

Katanya, beliau bersedia untuk tidak dicalonkan dalam pilihan raya itu.

“Saya akan bercakap berdasarkan

kebenaran demi rakyat tanpa mengira pangkat orang berkenaan,” katanya.

Milton bertanding mewakili SUPP bagi kawasan Pending pada pilihan raya lalu, tetapi tewas di tangan DAP.

Kenyataan beliau telah mendapat kritikan daripada pelbagai pihak terutama dalam PBB. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru