Thursday, December 8, 2022

Terima kasih polis, jenayah pecah rumah turun mendadak di Petra Jaya – Fazruddin

Secara Rawak

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri Tupong, Fazruddin Abdul Rahman semalam merakamkan penghargaan atas komitmen yang ditunjukkan oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengekang dan menangani jenayah pecah rumah dan samun di bandar raya ini.

“Kita sedar kebelakangan ini, jenayah pecah rumah, merompak dan samun pada awal pagi seolah-olah menjadi ‘trend” baharu yang membimbangkan.

“Dan memahami kegelisahan rakyat, polis melaksanakan Op Bersepadu untuk memastikan jenayah ini tidak terus-terusan berlaku.

Kata Fazruddin, hasil tindakan pantas tersebut ternyata membuahkan hasil dan sehingga ke hari ini, kadar jenayah indeks semakin berkurangan.

“Malah rakyat di kawasan Petra Jaya dapat menikmati Aidilfitri dengan gembira dan tenang tanpa bimbang didatangi penjenayah,” katanya yang ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Akademi Kastam dan Eksais di sini semalam.

Menurutnya lagi, beliau berharap Op Bersepadu akan dapat diteruskan selepas Aidilfitri ini bagi memastikan bandar raya Kuching benar-benar bersih dan bebas daripada jenayah.

“Peningkatan rondaan dan kekerapan sekatan jalan akan membolehkan penjenayah berfikir dua kali untuk melakukan perbuatan mereka,” ujarnya lagi.

Pada masa yang sama, Fazruddin turut menggesa kepimpinan PDRM dan Kerajaan Pusat menyegerakan pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petra Jaya bagi memberi khidmat keselamatan yang lebih efisien di kawasan terbabit.

“Kita sedia maklum kawasan Petra Jaya agak besar dan populasinya juga melonjak tinggi berbanding 10 tahun lalu.

“Justeru agak mustahil bagi Balai Polis Gita untuk memantau keseluruhan kawasan ini, terutama di kawasan Matang dan Telaga Air hingga ke Santubong.

Oleh itu katanya, rakyat Petra Jaya amat mengharapkan agar penubuhan IPD baharu dan balai baharu dapat dilaksanakan pada kadar segera.

Sementara itu, mengulas Op Selamat yang turut dilaksanakan di kawasan Petra Jaya, Fazruddin berkata, penduduk di kawasan tersebut amat berterima kasih kepada pihak penguatkuasa kerana ia bukan sahaja menjamin keselamatan kediaman mereka yang balik kampung tetapi turut menangani masalah ‘buli jalan’, dengan kenderaan berat turut menggunakan laluan biasa ketika kenderaan sesak pada musim perayaan.

“Kita mahukan sambutan ini diraikan dengan meriah, ceria dan kegembiraan dan tidak mahu ia digenangi dengan air mata kerana ada saudara mara yang terlibat dengan kemalangan,” tambahnya lagi.

Ribuan penduduk dari kawasan N8 Tupong hadir pada majlis rumah terbuka yang pertama kali dianjurkan oleh Fazruddin sebagai adun baharu kawasan tersebut.

Pada 7 Mei lalu, Fazruddin yang juga Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya, menewaskan Nurhanim Mokhsein daripada Parti Keadilan Rakyat untuk muncul adun kedua Tupong, setelah mantan Adun, Datuk Daud Abdul Rahman. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru