Thursday, December 8, 2022

Mesej amaran keselamatan palsu, bukan daripada polis

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Semalam tersebar mesej amaran keselamatan  kononnya daripada pihak polis tentang beberapa  kawasan dan pusat beli-belah di  Petaling Jaya dan Kuala Lumpur yang perlu dielakkan oleh orang ramai.

Namun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan pihak polis mengeluarkan mesej amaran keselamatan kepada orang ramai.

“Amaran ini bukan dari @PDRMsia,” kata Khalid yang disiarkan melalui Twitter menafikan mesej berkenaan yang segera menjadi viral.

Mesej itu menasihati orang ramai supaya mengelakkan kawasan sibuk di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur  seperti The Curve, KL Tower, Midvalley, Bukit Bintang, dan stesen-stesen LRT kerana kemungkinan serangan ISIS.

“Kerajaan Malaysia mengesahkan sama ada satu atau mana-mana satu daripada tempat berkenaan akan diserang oleh ISIS. Tolong kongsikan dan anda mungkin dapat selamatkan nyawa,” kata mesej itu yang didakwa adalah diterima daripada cawangan khas.

Mesej palsu itu tersebar di sebalik kejadian serangan bom di Puchong.

Isnin lalu, Ketua Polis Negara  mengesahkan serangan bom tangan di sebuah pusat hiburan di Puchong, Selangor didalangi kumpulan militan IS atas arahan anggota kumpulan pengganas rakyat Malaysia di Syria, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi.

Siasatan awal polis mendapati dua lelaki tempatan yang ditahan pada 1 Julai lalu berhubung insiden itu memperoleh bom tangan itu dari negara jiran.

Mesej sedemikian mudah diterima dan mempengaruhi orang ramai kerana kebimbangan mereka tentang kemungkinan berlaku lagi insiden serupa. Kejadian letupan bom dan keganasan di luar negara temasuk di Istanbul dan Dhaka memburukkan lagi keadaan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru