Monday, November 28, 2022

Kerajaan negeri perlu bantu mangsa ribut taufan, kata DAP

Secara Rawak

KUCHING: Bantuan perlu dihulurkan kepada mangsa ribut taufan di bandar raya ini yang rumah mereka rosak baru-baru ini.

Ribut taufan pada Rabu lalu telah menyebabkan beberapa buah rumah dan kenderaan rosak, dengan ada daripada bumbung rumah terbabit diterbangkan taufan berkenaan.

CHONG CHIEN JEN
CHONG CHIEN JEN

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jen berkata, bantuan boleh dihulurkan dengan menggunakan dana daripada Tabung Bantuan Bencana.

Dengan itu, boleh meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa yang terjejas oleh bencana alam berkenaan.

Chong dalam satu kenyataan berkata, pemilik rumah dan kereta yang rosak merupakan mangsa bencana alam, justeru kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan perlu menghulurkan bantuan sewajarnya kepada mereka.

“Mereka layak menerima bantuan untuk membina semula rumah atau membaiki kereta mereka,” katanya.

Chong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Sentosa turur membidas Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian yang tidak pasti jika kerajaan akan memberi bantuan terhadap mereka terbabit.

Sambil mengambil contoh bagaimana kerajaan membantu mangsa banjir di Kelantan dua tahun lalu, Chong berkata, kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan telah membantu untuk membina semula rumah mangsa banjir yang musnah.

“Jadi, kalau kerajaan dapat membantu membina semula rumah yang terjejas akibat banjir di Kelantan, tidak ada sebab mengapa kerajaan negeri Sarawak tidak boleh bantu, lebih-lebih lagi dengan rizab RM20 juta,” kata Chong.

Beliau berharap kerajaan negeri dapat membantu mangsa dengan menghulurkan dana bagi membolehkan mereka membina semula rumah, serta membayar pampasan terhadap kereta mereka yang rosak. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru