KOTA KINABALU: Presiden Rodrigo Duterte menyeru semua orang Islam di negara Filipina supaya bersatu dengan rakyat lain bagi mencapai keamanan dan pembangunan, bukan sahaja di Mindanao, tetapi juga di seluruh Filipina.

Sebanyak 86 peratus daripada 102 juta rakyat Filipina ialah Kristian.

Penganut Kristian di Filipina akan muncul sebagai negara keempat terbanyak di dunia menjelang 2050.

Jumlah penduduk Islam di negara itu ialah sekitar 11 peratus pada 2012 mengikut Suruhanjaya Kebangsaan Islam Filipina.

Dalam perutusan perayaan Aidilfitri, Duterte berkata perayaan itu adalah sesuai dengan masa ketika beliau menjadi presiden yang menekankan keamanan, kestabilan, pembangunan dan kemajuan.

“Seperti semua orang tahu, berpuasa pada bulan Ramadan mengajar disiplin. Ia menyemai dalam hati dan minda seseorang nilai kejujuran, keikhlasan dan komitmen kepada aqidah. Ia menggalakkan persefahaman, kedamaian, simpati dan kasih sayang sesama insan,” katanya seperti dipetik Manila Times.

SL1_PH1-KING_AMB3“Sudah pasti, kita letak pentadbiran baharu dengan harapan tinggi, dan dengan sokongan serta kerjasama setiap rakyat Filipina, ia akan dapat memacu negara kita ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Disiplin yang diamalkan dan diajar pada bulan Ramadan, menurut Duterte, sepatutnya memberi inspirasi kepada  umat Islam  Filipina supaya bersatu dengan rakyat Filipina lain untuk mencapai keamanan, kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan.”

“Sesungguhnya, perubahan akan menjelma!” katanya.

Menurut akhbar itu, Duterte mempunyai darah Islam dalam dirinya, neneknya daripada keturunan Maranao, sementara cucunya mempunyai akar keturunan Tausug.

Duterte  berazam untuk meneruskan proses kedamaian dengan pemberontak di Mindanao yang telah menentang kuasa pusat di Manila.

Beliau turut berjanji untuk mengadakan perbincangan yang lebih inklusif, bagi mengelak kesilapan pentadbiran lepas.

Penasihat kedamaian beliau, Jesus Dureza, mengeluarkan kenyataan berasingan menyatakan azamnya supaya wujud kedamaian dengan rakyat Filipina beragama Islam, dan juga kumpulan-kumpulan lain. – Sarawakvoice.com