Dr Awang Azman Awang Pawi
Dr Awang Azman Awang Pawi

Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir baru-baru ini merupakan salah satu  rempah ratus politik.  Tiada siapa yang dapat mengelakkan dirinya akan dipecat lebih-lebih tindakannya dianggap mengancam parti dan kepemimpinan presiden parti.

Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah dipecat ketika era Tunku Abdul Rahman, tetapi  kemudian dibawa kembali menyertai UMNO.  Seterusnya menjadi sejarah penting negara apabila dilantik menjadi Perdana Menteri.

Anwar Ibrahim pula dipecat oleh Dr Mahathir atas alasan faktor moral meskipun Anwar menganggap pemecatan beliau disebabkan  oleh sikap kritikal beliau terhadap amalan  kronisme dan nepotisme  dalam pemerintahan Mahathir.

Seterusnya, Anwar berjaya  menubuhkan parti baharu yang kini menjadi sebuah parti yang kuat sekurang-kurangnya dalam konteks berjaya menguasai  Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen,  malah  Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya mentadbir negeri Selangor.

Adakah TSMY begitu jua?

Selepas pemecatan,  Muhiyiddin (TSMY)  melakukan muhasabah diri  dan kini  dalam satu tempoh tenang.  Tempoh inilah memberikan ruang yang seluas-luasnya kepada beliau untuk merencanakan strategi politik dan tindakan  politik seterusnya.

Adakah beliau mudah terpedaya dengan dakyah di sekitarnya untuk membentuk sebuah parti baru? Namun pengalaman selama 45 tahun dalam politik pasti memberikan  ketajamannya  dalam menganalisis politik semasa.

Beliau tentu sedar bahawa untuk membuka parti baru bukanlah langkah strategik.  Bagi  menggerakkan pusat operasi dan pusat  daerah mengundi (PDM)  memerlukan  puluhan  cawangan bagi memastikan tugas meraih  undi.

Bagaimanakah menggerakkan  semua ini dengan tempoh kurang setahun setengah  sekiranya baru sahaja  hendak menubuhkan parti baharu?

Membentuk blok pembangkang?

Salah satu pilihan TSMY ialah  menyertai blok pembangkang.  Namun parti manakah yang serasi dengan beliau? Adakah dengan PKR, Amanah atau  DAP?  PKR dan Amanah mungkin berlapang dada menerima kehadiran  TSMY yang bagi mereka sebagai aset penting pada pilihan raya akan datang. Sekurang-kurangnya satu  kerusi parlimen dan tiga DUN akan beralih ke tangan mereka.

DAP mungkin agak sukar menerima TSMY kerana pendirian TSMY ialah Melayu dahulu kemudian Malaysia.  Sikap  dan pengakuan jujur TSMY ini  kurang disegani oleh DAP.

Jawatan Parti

mukhrizmahathirmuhyiddin1Sekiranya TSMY menerima pelawaan salah satu daripada parti pembangkang, adakah ini memberikan jaminan kepada beliau akan dilantik atau terpilih dalam kepimpinan tertinggi dalam parti Amanah atau PKR?

Seterusnya, adakah TSMY akan dapat mengambil alih peranan Anwar Ibrahim sebagai penyatu  kepada parti-parti pembangkang? Ini merupakan  penanda aras yang menjadi ukuran.  Namun sejauh manakah TSMY diterima oleh semua komponen pembangkang?

Sebagai orang yang pernah menerajui sebagai Timbalan Presiden parti terbesar Malaysia, tentulah dianggap tidak manis sekiranya ditawarkan Majlis Tertinggi Parti mahupun Naib Presiden.  Atau, adakah TSMY tidak mahu memikirkan hal ini kerana beliau lebih mengutamakan idealisme perjuangan dan pendiriannya selama ini hingga berpatah arang dengan parti lama.

Mungkinkah jauh di sudut hati TSMY masih sangat sayang kepada UMNO  dan tidak mahu terlibat dengan parti pembangkang?

Jadi,  idea menjadi calon bebas mesra pembangkang merupakan  pilihan terakhir.  Adakah dengan cara  ini  beliau akan mencapai matlamat idealisme perjuangannya?

Ternyata dalam tempoh tenang ini banyak yang perlu dipertimbangkan oleh TSMY. – Sarawakvoice.com