KOTA BHARU: Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berkata 200,000 pelajar institusi pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan pelajar tajaannya di dalam dan luar negara yang terbukti melibatkan diri dengan anasir yang bersifat mengancam keselamatan negara akan ditamatkan kontrak termasuk tajaan, dengan serta-merta.

Sambil menekankan bahawa Mara memandang serius kegiatan yang menimbulkan kecurigaan melibatkan pelajarnya, Annuar berkata semua pihak perlu memandang serius pengaruh dan ancaman daripada kumpulan pengganas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelmarin berkata bahawa institusi pengajian tinggi (IPT) dikenal pasti sebagai tempat yang dikhuatiri mempunyai pengaruh paling kuat kumpulan militan.

Katanya, para pelajar tajaan Mara di dalam atau di luar negara tidak dibenarkan membabitkan diri dalam persatuan yang tidak diiktiraf oleh kedutaan Malaysia, pihak Mara atau universiti berkenaan.

Justeru, beliau memberi amaran kepada pelajar terbabit supaya tidak terlibat dengan kegiatan militan dan kegiatan yang boleh mengancam keselamatan negara.

“Kalau mereka menyertainya tanpa kebenaran, mereka melanggar kontrak, maka mereka boleh diambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Sempena Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Bukit Marak, Peringat di sini, hari ini.

Annuar berkata, setakat ini Mara memantau kegiatan pelajar berkenaan.

Katanya: “Belum ada yang terlibat cuma ada sedikit laporan awal beberapa pelajar kita di Amerika Syarikat di mana kita ada dapat peringatan daripada pihak keselamatan di Amerika kerana ada beberapa pelajar tajaan Mara terlibat dalam usrah yang sedang dipantau oleh pihak keselamatan Amerika.” – Sarawakvoice.com