Monday, December 5, 2022

Kelantan akan jatuh pada PRU-14, kata bekas pemimpin Pas

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:  Ahli Dewan Undangan Negeri Salor, Datuk Husam Musa menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bahawa beliau berusaha menjatuhkan kerajaan Kelantan.

Sebaliknya, beliau yang dipecat daripada Pas baru-baru ini berkata, kejatuhan Kelantan adalah pilihan presidennya sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila parti Islam itu memilih untuk bersendiri.

“Tuduhan saya berusaha jatuhkan kerajaan Kelantan tidak benar sama sekali kerana kerajaan ini tentu akan jatuh hasil pilihan presiden Pas sendiri untuk kembali ke zaman Pas tidak menang dulu,” katanya.

Menurut Husam, seperti dipetik Malaysia Dateline, kejatuhan kerajaan Pas Kelantan dan kekalahan kebanyakan kerusi Pas di seluruh negara tidak dapat dielakkan apabila Pas memilih kembali menyendiri dan membuat blok ketiga yang terasing dari pentas politik pilihan rakyat.

Keputusan pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, katanya, menunjukkan parti asal beliau itu akan kembali kalah di semua kerusi campuran dan kerusi-kerusi ‘marginal’ kawasan majoriti Melayu. 

Di kedua-dua pilihan raya kecil itu, PAS bukan sahaja berdepan Barisan Nasional tetapi juga parti serpihannya, Amanah. Amanah telah mengatasi PAS di Sungai Besar namun dikalahkan parti asalnya itu di Kuala Kangsar.

PAS masih bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri Selangor.

“Di Selangor kesemua 15 kerusi akan jatuh dan kalau Datuk Iskandar masih mahu jadi wakil rakyat selepas PRU ke-14 beliau perlu berhijrah ke mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH).

Mengakui sebagai pengerusi “Road Map” Pas PRU-13, beliau berkata  Pas memang menyasarkan untuk menang 15 kerusi di Selangor dengan memilih kerusi campuran supaya rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) waktu itu dapat melonjakkan undi bagi mengalahkan BN.

“Kini tanpa lonjakan sokongan luar Pas kita boleh baca dengan tepat kesemua 15 kerusi itu Pas akan kalah termasuk Dr. Rani dan Dr. Halimah sekalipun,” ujar beliau.

Berkaitan Kelantan katanya, dengan mengasingkan diri daripada ‘mainstream’ pakatan pembangkang tidak perlu penganalisis profesional untuk mengatakan Pas tentu kalah dalam PRU akan datang.

“Yang menjadi isu sekarang, kerajaan Pas yang akan kalah ini akan diganti oleh siapa,” soal beliau.

Umno katanya telah memasang angan-angan untuk kembali berkuasa di Kelantan.

“Tapi kena ingat dengan badai yang sedang melanda Umno sekarang, mereka pun tahu situasi telah berbeza dan kubu mereka termasuk di Johor sedang terumbang ambing dan mungkin runtuh,” katanya.

Menurut beliau gerakan yang kini dipanggil 3M, iaitu Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz tidak boleh dipandang ringan dan ia boleh bangkit membentuk gegaran besar jika diatur dengan sempurna.

“Sebab itu di Kelantan ini kalau Amanah benar-benar mahu ambil alih, ia tidak pelik dengan syarat buat kerja kuat dan berstrategi dan elak perangai buruk parti lama berkelahi dengan semua orang,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru