Thursday, December 8, 2022

Bill Kayong: Suspek kelapan ditahan malam tadi

Secara Rawak

KUCHING: Polis Sarawak berjaya memberkas seorang lagi suspek yang mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan Bill Kayong malam tadi.

Suspek lelaki yang berusia 28 tahun itu ditahan sekitar jam 10.30 malam di sebuah premis hiburan di Piasau Utara 1, Miri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak,  yang juga ketua  pasukan petugas khas Bukit Aman yang mengendalikan kes ini, Senior Asisten Komisoner Dev Kumar berkata, penahanan suspek ini dipercayai akan membantu memberi maklumat penting ke arah menyelesaikan kes ini.

“Beliau akan dibawa ke Mahkamah Majistret Miri pada petang ini untuk perintah tahanan reman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lelaki ini katanya, merupakan suspek kelapan yang ditahan, selain tujuh suspek lain. Seorang daripada mereka dibebaskan awal setelah permohonan perintah remannya ditolak oleh Mahkamah Majistret Miri.

“Kami juga sedang memohon untuk sambungan perintah reman terhadap enam suspek yang terdahulu kerana siasatan masih belum lengkap.

“Pada masa yang sama kami juga sedang mengesan beberapa suspek lain yang masih bebas.

Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak dapat mendedahkan identiti mereka untuk mengelakkan gangguan pada siasatan yang masih berjalan.

“Kita hanya menunggu masa untuk menjejak dan menahan mereka,” katanya

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor yang memantau proses siasatan sebelum ini memberi jaminan bahawa tiada suspek yang akan dilepaskan dalam kes ini manakala siasatan akan dilakukan secara menyeluruh.

“Pasukan petugas khas ini bekerja 24 jam bagi memastikan kes ini menemui titik noktah,” katanya.

Dalam kejadian pada 21 Jun lalu, Bill Kayong atau nama Islamnya, Mohd Hasbie Abdullah, 43 tahun,  ditemui mati dalam kenderaan pacuan empat roda (4WD) miliknya di persimpangan lampu isyarat Jalan Kuala Baram, Miri berhampiran pasar raya Emart kira-kira jam 9.20 pagi.

Mangsa yang juga aktivis sosial yang pernah bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) pada 7 Mei lalu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Desa Senadin ke pejabatnya di Permyjaya sebelum ditembak dari jarak dekat.

Hasil pemeriksaan forensik kemudian menemui dua kesan tembakan pada leher kanan mangsa yang membawa kepada kematiannya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru