Thursday, December 8, 2022

Sarawak penyumbang terbesar ekonomi negara, miliki rizab RM27 bilion

Secara Rawak

KUCHING: Ekonomi Sarawak berada pada landasan yang betul apabila ia mampu menjadi antara penyumbang terbesar ekonomi Malaysia ketika ini.

Sarawak juga mendapat pengiktirafan “clean bill of health” bagi tempoh 14 tahun berturut-turut dengan memikiki rizab RM27 bilion pada 2014.

Bercakap menerusi perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri pada Selasa, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan berkata sememangnya prestasi ekonomi Sarawak jauh lebih baik berbading negeri lain, dilihat daripada beberapa aspek.

Menurut Adenan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal Sarawak pada 2014 ialah RM119 bilion.

Manakala, Pendapatan Per Kapita Sarawak ialah RM44,000.

Jika dibandingkan dengan Pulau Pinang, ekonomi Sarawak jauh lebih besar.

Pulau Pinang mempunyai KDNK nominal RM71 bilion dengan Pendapatan Per Kapita RM42,000.

Berdasarkan prestasi pelaburan, Sarawak menduduki carta teratas berbanding negeri lain di Malaysia bagi tempoh empat tahun sejak 2012.

Amat membanggakan kerana Sarawak berjaya menarik pelaburan secara konsisten daripada pelabur dalam negeri dan luar negara.

Sarawak mencatat pelaburan RM11.8 bilion tahun lalu, bahkan menjadi destinasi pilihan kedua pelaburan selepas Johor.

Adenan menambah, “dengan pencapaian terbabit, Sarawak turut berada pada tahap yang lebih baik berbanding Selangor dengan jumlah pelaburan RM7.96 bilion dan diikuti Pulau Pinang RM6.72 bilion.”

Bagi Adenan, prestasi ekonomi yang memberangsang dan membanggakan ini mampu dicapai kerana Kerajaan Negeri kuat, bertanggungjawab serta berpandangan jauh.

“Rakyat bersatu padu juga menyumbang kepada kejayaan ekonomi setakat ini apabila Sarawak memberi tumpuan kepada usaha pembangunan sepenuhya,” ujar Adenan.

Dalam perutusan Aidilfitri itu, Adenan berjaya mengaitkan kejayaan ekonomi negeri dengan pengekalan perpaduan rakyat Sarawak, justeru beliau mengajak rakyat sama-sama menjaga “saham” keharmonian ini.

“Perbezaan pendapat, agama dan budaya tidak seharusnya menjadi benteng pemisah antara kita untuk membina Sarawak yang lebih maju, aman dan makmur,” kata Adenan.

Beliau mengajak rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini, sama-sama merayakan hari yang mulia ini dengan semangat muhibah dan persaudaraan sesama umat Islam dan rakan dari keturunan dan agama lain

Bersempena Aidilfitri, Adenan ingat pada mereka yang memerlukan termasuk insan kurang upaya, fakir miskin dan mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan pesisiran pantai yang masih belum lengkap dengan kemudahan sepenuhnya.

Tegas Adenan, “golongan yang susah dan miskin tidak akan dibiarkan tanpa pembelaan.”

Pada kesempatan perutusan Aidilfitri kali ini, Adenan sempat mengulas tentang sokongan padu rakyat Sarawak yang amat diperlukan dalam mengembalikan kuasa negeri Sarawak dari Kerajaan Persekutuan yang terhakis pada masa lalu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana sudi berunding dengan Kerajaan Negeri Sarawak agar kuasa Negeri Sarawak seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Inter-Governmental Comittee Report dan Malaysia Agreement 1963 yang telah terhakis selama ini dikembalikan kepada Negeri Sarawak.

Bagi Adenan, penurunan kuasa dan pengembalian kuasa kepada Sarawak merupakan impian setiap warga Sarawak sejajar hasrat para pemimpin negeri ini yang telah bersetuju dengan Perjanjian Malaysia pada 1963.

Adenan yakin proses rundingan penurunan kuasa itu akan berjaya meskipun memakan masa panjang dan banyak prosedurnya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru