Wednesday, August 17, 2022

Projek Pan Borneo tidak guna peruntukan pembangunan negeri Sarawak – Fadillah

Secara Rawak

KUCHING: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusuf hari ini menafikan bahawa projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang berjumlah RM16 bilion menggunakan dana pembangunan tahunan yang diperuntukkan untuk negeri ini, seperti yang didakwa oleh pihak pembangkang.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, projek mega tersebut dibangunkan menerusi peruntukan yang berbeza.

“Projek ini dibangunkan menerusi Rakan Pelaksana Projek, model yang sama yang digunakan untuk menjayakan projek Aliran Transit Massa (MRT).

“Menerusi model ini, sebanyak 60 peratus daripada pembiayaan projek datangnya daripada terbitan sukuk oleh DanaInfra Nasional Berhad dalam pasaran modal manakala hanya RM5 bilion dibiayai melalui perbelanjaan pembangunan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu kata Fadillah, adalah jelas bahawa projek Pan Borneo ini menggunakan dana yang berbeza dan bukannya ditolak daripada peruntukan tahunan di bawah Rancangan Malaysia semasa.

“Kerajaan Pusat adalah komited untuk mengotakan janjinya kepada rakyat untuk membina lebuh raya ini.

Projek Pan Borneo yang bermula di Sematan hingga ke Lawas sebelum disambung ke Sabah melibatkan pembinaan dan naik taraf jejeran jalan dua lorong sejauh 779 km selain membina serta menaik taraf 115 jambatan, selain membina tiga pusat rawat dan rehat (r&r).

Kata Fadillah lagi, dalam rancangan pembangunan sebelum ini menerusi Rancangan Malaysia ke-11 (RMKe11), Sarawak merupakan antara negeri yang menerima peruntukan terbesar dengan anggaran tujuh hingga sepuluh peratus daripada peruntukan tahunan keseluruhan.

Isu tersebut menggelegak apabila pada Sidang Dewan Undangan Negeri yang lalu, ketua pembangkang Chong Chieng Jen ketika mencelah ucapan penggulungan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem mendakwa pembinaan lebuh raya itu mengguna pakai peruntukan tahunan Kerajaan Pusat kepada negeri ini, sekali gus dikhuatiri menjejaskan projek pembangunan lain. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru