Wednesday, June 29, 2022

Pemandu teksi  memarahi pemandu Uber dan GrabCar

Secara Rawak

Kehadiran Uber dan GrabCar sedikit sebanyak melegakan rakyat Malaysia khususnya golongan pertengahan yang memerlukan perkhidmatan pengangkutan awam.

Alternatif yang muncul di kala kesempitan hidup rakyat yang terpaksa menanggung penderitaan bergantung kepada pengangkutan awam yang semakin membebankan saban hari nampak semakin mendapat sambutan.

Mengikut asas ekonomi, tiada permintaan tiada penawaran.

Namun peningkatan popularitinya juga menyaksikan peningkatan kes gangguan daripada pemandu teksi.

Mengapa pemandu teksi marah kepada pemndu Uber dan GrabCar? Takut periuk nasi tumpah?

Di kala pengusaha teksi terpaksa komited dengan pelbagai kos, permit operasi, dan peraturan yang ditetapkan oleh syarikat dan kerajaan, Uber dan GrabCar ini nampak bebas beroperasi tanpa terikat dengan sebarang komitmen tersebut.

Makanya, tidak hairanlah pihak Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) pun dalam dilema mengambil sebarang tindakan kerana ia melibatkan kepentingan awam – rakyat yang mahukan alternatif pengangkutan itu.

Apakah Uber atau GrabCar sebenarnya? Secara ringkasnya konsepnya adalah menumpang kenderaan orang yang kebetulan menuju ke destinasi sama yang ingin ditujui dari titik bertolak yang sama pada masa yang sama.

Ia bukanlah suatu perniagaan mahupun transaksi yang dimaksudkan untuk mengambil keuntungan, tetapi berkongsi kos perjalanan tersebut.

Jumlah bayarannya tidak standard bergantung kepada persetujuan rundingan yang dicapai kedua-dua belah pihak menerusi aplikasi apps telefon pintar dan boleh sama ada secara tunai mahupun kad kredit.

Kedua-dua pihak – pemandu dan penumpang —  sebenarnya tertakhluk kepada peraturan yang disyaratkan oleh pihak Uber dan GrabCar.

Pihak yang menanggung kerugian paling besar ialah pengusaha kenderaan awam dan kerajaan, malahan  tidak mustahil LPKP ditutup selepas ini jika gagal tampil dengan suatu mekanisme baharu mengawal fenomena baharu yang muncul ini.

Implikasinya, setiap pemilik kenderaan personal boleh menjadi pesaing kepada pengusaha teksi sekarang.

Apakah sebab perkhidmatan ini boleh mendapat tempat dalam masa begitu singkat sehinggakan semacam makin kerap kes pemandu teksi mengambil tindakan di tangan sendiri yang menyalahi undang-undang dilaporkan di media massa?

Tidak mustahil populariti Uber dan GrabCar adalah disebabkan oleh perkhidmatan Internet yang lebih mudah serta mampu guna berserta dengan aplikasi telefon pintar.

Pengusaha teksi sepatutnya melakukan kesiapsiagaan melengkapkan diri mereka dengan literasi media digital supaya boleh bersaing dengan Uber dan GrabCar yang bergerak atas platform Internet menerusi smartphone.

Kadar tambang yang saban hari makin mahal dipercayai punca utama memaksa pengguna mencari alternatif lain.

Kenapa teksi dari KLIA atau ke KLIA tidak dibenarkan mengambil penumpang dalam perjalanan balik.? Agaknya ikut logik mungkin kos yang terpaksa dibayar oleh penumpang boleh lebih murah sedikit sekiranya teksi dibenarkan membawa penumpang.

Mengapa juga pengguna terpaksa dibebani dengan caj tambang dua kali ganda selepas jam 12.00 tengah malam atau caj berbeza mengikut jumlah penumpang?

Sudah menjadi kebiasaan di kaunter teksi bertanyakan kepada anda berapa orang penumpang.

Kadar tambang KLIA Ekspres dari KLIA – KL Sentral baru-baru ini pun telah dinaikkan sehinggakan membebankan rakyat.

Ditambah dengan peningkatan kos sara hidup disebabkan peningkatan caj bayaran merangkumi hampir kesemua aspek termasuklah bil Astro dan elektrik misalannya, tidak mustahil rakyat terpaksa mempertimbangkan apa-apa alternatif yang boleh membantu meringankan beban kehidupan.

Seperkara unik yang mungkin boleh diketengahkan adalah beli tiket di kiosk, website atau app boleh dapat harga lebih murah. Tidakkah itu merupakan suatu bentuk diskriminasi terhadap golongan yang kurang arif dengan teknologi komunikasi, baik kurang maklumat berkenaannya mahupun tidak melanggan kepada perbankan online?

Pendek cerita, kehadiran Uber dan GrabCar telah menimbulkan suatu polemik baharu kepada kerajaan sama ada mengharamkannya, atau memikirkan suatu mekanisme baharu untuk mengawal selia perkhidmatan tersebut.

Adakah terdapat ruang pada sistem pengangkutan awam sedia ada untuk dilakukan penambahbaikan?

Apa-apa pun isu ini bukan senang diurus kerana penggubal polisi perlu memikirkan sama ada mahu menjaga kepentingan rakyat atau kepentingan pemandu teksi.

Buat masa ini masih boleh dianggap terkawal kepada penggunaannya masih tertumpu di kawasan bandar di mana akses internet boleh diperoleh.

Pastinya kita tidak mahu ada pihak yang mempergunakan nama Uber atau GrabCar ini untuk menjalankan aktiviti ‘kereta sapu’. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru