Monday, August 15, 2022

Kekalkan perpaduan dan suasana harmoni di Sarawak untuk muncul negara maju — Taib Mahmud

Secara Rawak

Perutusan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri

ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR.

Syukur Alhamdulillah, kita rafakkan rasa kesyukuran ini ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan hidayat-nya, sekali lagi kita dapat bersama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Terlebih dahulu saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua rakyat dalam negeri ini khususnya masyarakat Islam yang terdiri daripada pelbagai kaum di sarawak samada dari masyarakat Melayu, Cina, Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan lain lainnya yang meraikan perayaan ini.

Setiap perayaan di Sarawak disambut dalam keadaan yang aman dan harmoni. Ini pasti menimbulkan kesedaran di kalangan rakyat bahawa masa hadapan kita adalah terikat bersama tanpa mengira bangsa, keturunan dan agama dalam usaha kita membawa negeri Sarawak ke arah kemajuan dan kemakmuran.

Sesungguhnya kita seharus merasa bangga dengan kebolehan kita mencapai tahap pembangunan dan kemajuan yang amat memberangsangkan hasil daripada kebolehan kita menjaga perpaduan dan hubungan yang begitu baik di antara rakyat kita yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik, kepercayaan agama dan latarbelakang.

Alhamdulillah, walaupun orang Islam di Sarawak ini terdiri daripada golongan minoriti namun pemimpin Islam bersama pemimpin bukan Islam telah bekerjasama mentadbirkan negeri ini dengan cukup adil dan saksama, senantiasa bertoleransi dan hormat menghormati. Bagi masyakarat Islam di Sarawak, perkara ini adalah satu pegangan dan tanggungjawab yang besar kerana ajaran agama Islam menganjurkan untuk memelihara kebajikan dan hak semua rakyat tanpa mengira kaum, agama serta adat resam. Sesungguhnya, di dalam agama Islam, masyarakat bukan Islam dianggap sebagai golongan zimli iaitu orang yang patut dijaga dan tidak diabai serta dipelihara semua kebajikan dan keselamatan dengan cukup baik.

Kita telah dapat sama-sama menyaksikan bagaimana negeri Sarawak telah banyak berubah daripada negeri yang paling mundur dalam tahun 60-an dan 70-an dan kini telah menjadi negeri yang paling progressif dan maju. Pembangunan ekonomi negeri Sarawak bukan saja makin aktif dan moden dalam negara bahkan dalam rantau ini. Pada suatu ketika ekonomi negeri Sarawak mempunyai per kapita RM4,000 saja dan dewasa ini telah melonjak kepada lebih RM40 000 iaitu lebih 10 kali ganda pertambahannya. Oleh itu maka kita harus bersyukur kehadrat Allah SWT atas kejayaan kita mengangkat taraf hidup rakyat kita kepada paras yang lebih baik dan makmur lagi.

Sesungguhnya kita seharus merasa bangga dengan kebolehan kita mencapai tahap pembangunan dan kemajuan yang amat memberangsangkan hasil daripada kebolehan kita menjaga perpaduan dan hubungan yang begitu baik di antara rakyat kita yang terdiri daripada perlbagai kumpulan etnik, kepercayaan agama dan latarbelakang.

Saya percaya sokongan rakyat yang padu kepada perjuangan kita selama ini akan terus kekal kepada kerajaan dibawah pimpinan YAB Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Haji Satem sebagai Ketua Menteri Sarawak ke-lima dengan suatu hakikat untuk menyambung perjuangan untuk merealisasikan visi 2020 dalam mencapai status negara maju dengan ekonomi berpendapatan tinggi. Saya percaya bahawa YAB Datuk Patinggi Tan Sri Adenan tentu sekali dapat menyambung segala perjuangan dan susunan kerja kita dalam pentadbiran negeri Sarawak untuk membawa Sarawak kepada taraf yang lebih maju sekali.

Selain daripada itu usaha hendaklah dipertingkatkan lagi untuk membantu rakyat dalam golongan yang berpendapatan rendah (low income group) supaya mereka dapat mengikut jejak langkah mara ke hadapan dengan kemajuan negara yang semakin sehari makin lebih maju. Kita mesti mengelak keadaan dimana ada segolongan rakyat yang kekal ketinggalan daripada arus pembangunan.

Dalam soal ini segala bantuan-bantuan boleh difokuskan kepada orang yang berpendapat rendah bukan saja kaum bumiputera tetapi kaum bukan bumiputera juga dengan berlandaskan kepada rancangan luar bandar dan dasar menolong orang Bumiputra yang sedia ada.

Secara umumnya kita dapat nampak persamaan keadaan ekonomi diantara kawasan bandar dan kawasan luar bandar. Misalnya kita boleh lihat rumah di kawasan luar bandar kadang kadangnya mempunyai satu atau dua kenderaan seperti juga rumah-rumah di kawasan bandar. Pada keseluruhannya kita dapat melihat bahawa orang Melayu dan Bumiputera Sarawak telah dapat menikmati bentuk kehidupan yang semakin sehari sama rata dengan penduduk dalam bandar.

Memang tidak boleh dinafikan bahawa kejayaan kita mengurangkan perbezaan di antara rakyat di luar bandar dengan mereka di kawasan dalam bandar terpulang kepada rakyat itu sendiri juga iaitu lebih keupayaan untuk berusaha sendiri dan membuat usaha yang lebih banyak lagi untuk menambah pendapatan mereka.

Saya percaya kemakmuran yang telah kita capai akan terus melonjak pada masa yang akan datang. Dengan kejayaan yang telah kita capai sekarang saya berkeyakinan bahawa negeri Sarawak dapat mencapai visi 2020 lebih awal lagi kerana Sarawak sudah melaksanakan program perindustrian yang dapat memberi banyak peluang pekerjaan kepada rakyat kita.

Apa yang saya dapat nampak dalam masa 15 tahun lagi iaitu sampai tahun 2030, peluang bagi Sarawak untuk terus maju dan memberi peluang pekerjaan dengan pendapatan yang tinggi dan lumayan akan berlaku dan insyaallah kita akan terus menjalankan usaha pembangunan yang telah bermula dengan pembangunan kawasan SCORE di kawasan tengah Sarawak.

Satu petanda yang saya nampak amat sihat lahir daripada pembangunan negeri kita ialah orang yang dulunya duduk di kampung-kampung di di persisiran pantai dan rumah panjang yang jauh terpisah daripada satu dengan lain, yang tidak ada peluang untuk bercampur, sekarang ini telah dapat berjumpa di bandar -bandar baiknya duduk di bandar atau sekali sekala melawat ke bandar. Ini telah mengeratkan lagi perhubungan di antara rakyat kita. Semua ini telah membawa satu bentuk masyarakat baru yang lebih mesra dan bersatu padu.

Misalnya saya nampak penduduk di luar bandar yang semakin ramai berhijrah ke bandar-bandar yang mana mula-mulanya mereka hanya mahu duduk berdekatan dengan saudara mara atau kaum masing-masing tetapi lama kelamaan mereka sudah mula duduk bercampur dengan perasaan bahawa mereka juga adalah satu masyarakat Sarawak. Ini adalah satu kebaikkannya.

Usaha untuk membina infrastruktur jalan raya yang lengkap khususnya di kawasan pendalaman dan persisiran pantai memakan masa yang panjang. Ianya terpaksa dijalankan mengikut rupa keupayaan negeri dari aspek peruntukan kewangan dan tenaga manusia seperti jurutera, pekerja teknikal dan lain lainnya dan tidak dapat dijalankan serta merta.

Pada keseluruhannya rakyat di luar bandar dapat memahami keadaan ini kerana mereka percaya usaha kita adalah ikhlas dan bersungguh serta pemimpin kita mempunyai jiwa rakyat. Mereka mewakili seluruh pelusuk negeri ini dan mengetahui rupa keadaan yang mana dapat kita buat terlebih dahulu dan mana yang kita tidak dapat buat dengan serta merta.

Namun semua ini tidak menjadi halangan bagi kerajaan negeri kerana kerajaan sentiasa akan berusaha untuk menjaga kepentingan rakyat Sarawak supaya dapat turut serta dalam pembangunan perdana bagi memastikan mereka ini boleh menikmati peluang yang dicipta oleh perkembangan ekonomi negara. Kerajaan Negeri Sarawak sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk membangunkan negeri ini, amnya dan rakyat sarawak khasnya.

Oleh itu kerajaan senantiasa meneruskan usaha-usaha transformasi kawasan luar bandar melalui penyediaan infrastruktur asas yang seperti jalan raya, bekalan air, elektrik, kemudahan kesihatan dan pendidikan. Kemudahan asas ini amat diperlukan untuk menarik aktiviti-aktiviti ekonomi seperti industri asas tani, perladangan komersial dan pelancongan.

Selain daripada itu kerajaan juga telah merancangkan pembangunan pusat pertumbuhan desa ataupun rural growth centre (RGC) sebagai salah satu strategi untuk memperkasakan trasformasi luar bandar. Dalam konteks ini, penyediaan kemudahan asas di setiap RGC amat diperlukan untuk menyokong aktiviti ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Langkah ini sudah tentu akan memberi impak yang positif kepada masyarakat tempatan dari segi peluang perniagaan dan pekerjaan. Saya yakin transformasi luar bandar akan merapatkan jurang pembangunan di antara kawasan bandar dan kawasan luar bandar.

Bagi hemat saya perayaan Hari Raya Aidilfitri merupakan masa yang sesuai bagi kita mengenangkan kembali segala anugerah dan bantuan yang Allah SWT telah berikan kepada kita untuk menempuh pelbagai cabaran. Kita bersyukur dengan apa sahaja yang telah kita perolehi sebagai hasil titik peluh kita dan usaha kita sepanjang setahun yang lepas. Dalam kita berpuasa selama satu bulan ini kita telah mendirikan satu kekuatan yang menunjukkan kebolehan kita untuk mengatasi kelemahan diri asal saja ada keazaman untuk mengatasinya.

Perayaan Hari Raya Adilfitri di Sarawak ini disambut meriah oleh semua rakyat kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bukan hanya disambut oleh satu masyarakat sahaja. Ini adalah bersesuai dengan kita di Sarawak yang menjadi penerima warisan yang begitu lama meraikan perayaan ini bersama-sama dengan kaum-kaum lain dengan keazaman untuk memperbaharui hubungan sosial kita dengan sahabat-sahabat ataupun saudara mara dan juga memperluaskan hubungan kita dengan ahli keluarga.

Kita harus berbangga kerana keharmonian dan kedamaian yang dinikmati hari ini adalah hasil sikap toleransi dan semangat saling percaya-mempercayai di kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai suku kaum, budaya dan agama. Keunikan ini adalah kekuatan negeri Sarawak yang menjadi tunjang kepada perpaduan dan kestabilan politik di negeri ini dan perlu dipelihara untuk generasi seterusnya.

Suasana muhibbah ini dapat dilihat melalui kerjasama rapat antara semua kaum dalam pembangunan ekonomi dan sosial. Saya berharap perpaduan dan suasana harmoni rakyat Sarawak akan terus kekal teguh dengan acuannya tersendiri ini.

Saya sekali lagi mengambil peluang ini mengikut semangat kita meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat semua kerana mereka telah sama-sama dapat mengikuti rentak pembangunan negeri ini dan sentiasa memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan negeri ke arah mencapai taraf negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI. SEMOGA ALLAH SWT MEMELIHARA KITA SEMUA.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru