Tuesday, August 16, 2022

Benarkan kanak-kanak S’wak daftar taska dulu, suntik vaksin kemudian

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak melalui pelan strategik Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sarawak 2016-2020 memastikan semua kanak-kanak berusia bawah empat tahun mendapat asuhan terbimbing sama ada di rumah atau di insitusi pendidikan sah kanak-kanak.

Menurut Menteri Kebajikan Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Fatimah Abdullah, tidak seperti dikuatkuasakan di Semenanjung, kanak-kanak di negeri ini masih tidak dikenakan syarat imunisasi bagi tujuan pendaftaran awal memasuki taska.

“Jika prasyarat ini dikuat kuasa, maka kanak-kanak di luar bandar sukar mendapatkan imunisasi berkenaan kerana tiada kemudahan dan berkemungkinan akan terpinggir,” jelas Fatimah.

Mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Ke-luarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun pada Isnin, Fatimah berkata, sehubungan pendidikan awal kanak-kanak, isu imunisasi di Sarawak berbeza dengan isu imunisasi di Semenanjung.

Sebelum ini, Azizah berkata kanak-kanak yang belum menerima suntikan vaksin dan imunisasi tidak akan dibenar memasuki taska kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Syarat tersebut merupakan kaedah yang ditetapkan kementeriannya bagi menjamin keselamatan murid daripada jangkitan penyakit berbahaya.

Kanak-kanak mudah terdedah kepada penyakit berjangkit yang berbahaya.

Manakala, terdapat segelintir ibu bapa yang tidak mahu membenarkan anak diberi suntikan vaksin atau mengikuti program imunisasi kerajaan.

Sebahagian ibu bapa mempunyai pandangan negatif terhadap suntikan vaksin dengan menuduh program tersebut merupakan agenda musuh melemahkan generasi sesebuah negara membangun.

Wabak difteria dan demam campak yang disahkan bebas penularannya di negara ini, timbul semula sehingga mengorbankan beberapa kanak-kanak di Semenanjung Malaysia ekoran kegagalan ibu bapa memvaksinkan anak mereka.

Seksyen 31, Akta Kanak-Kanak 2011 Pindaan Rang Undang-Undang Kanak-Kanak 2015 yang akan diwartakan, sesiapa yang menganiaya kanak-kanak boleh dikenakan denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru