Monday, August 8, 2022

Jangan jadikan perbezaan sebagai benteng pemisah — Adenan Satem

Secara Rawak

Berikut adalah perutusan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Saudara Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, marilah kita menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan hidayah dan keizinan-Nya jua sekali lagi pada tahun ini kita dapat menyempurnakan ibadah puasa dan meraikan Aidilfitri yang mulia dalam suasana harmoni dan sejahtera.

Bersempena dengan hari yang mulia ini, saya dan isteri serta keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh kaum Muslimin dan Muslimat anak Sarawak di mana sahaja saudara dan saudari berada.

Di Bumi Kenyalang, kita merayakan hari terbesar bagi umat Islam ini dalam keadaan aman sentosa, dengan penuh keceriaan dan serba lengkap.

Berpakaian baru dan bersih, kita orang Islam akan berkumpul di masjid-masjid untuk bersembahyang raya, bertakbir, bersalam-salaman, bermaaf-maafan dan memperbaharui persahabatan dan kenalan kita dengan semua orang Islam yang ditemui.

Dalam pada kita merayakan Hari Raya dalam keadaan yang begitu selesa, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat adik kakak kita yang terpaksa mengharungi suasana yang serba kekurangan dan kurang selesa dalam menyambut hari yang sungguh mulia ini.

Orang kurang upaya, fakir miskin dan mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan pesisir pantai di mana masih belum lengkap kemudahan awamnya perlu sentiasa berada dalam ingatan kita.

Mereka ini menghadapi banyak cabaran untuk menyambut Hari Raya dalam suasana yang selesa. Saya amat berharap dan berdoa agar mereka sentiasa tabah menghadapi segala cabaran dan kesulitan.

Namun, mereka yang susah dan miskin tidak akan dibiarkan tanpa pembelaan. Mereka inilah dalam golongan orang yang seharusnya mendapatkan perhatian lebih daripada Kerajaan Negeri. Golongan yang berada dan kaya mampu membela nasih mereka sendiri tanpa banyak bantuan daripada Kerajaan.

Dalam Islam, kita seharusnya sentiasa menegakkan keadilan sebagai suatu prinsip, samada untuk umat Islam atau orang bukan Islam, walaupun ia tidak berpihak kepada kita.

Pilihanraya Negeri Sarawak sudahpun selesai dan rakyat Sarawak telah membuat keputusan dan memberi isyarat yang cukup jelas. Saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat Negeri Sarawak yang telah memberi mandat kepada saya untuk memimpin Kerajaan Negeri Sarawak untuk tempoh lima tahun lagi. Sekarang adalah masa untuk berusaha ke arah Sarawak yang lebih maju dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sarawak menjadi sebahagian daripada Malaysia pada tahun 1963 dengan harapan Sarawak akan menjadi sebuah negeri yang maju mengikuti jejak langkah Semenanjung Malaysia.

Adalah menjadi impian semua anak Sarawak untuk melihat negeri ini menjadi sebuah negeri yang maju setanding dengan Semenanjung Malaysia dari segi infrastruktur, kemudahan asas dan ekonomi. Apa yang ada di Semenanjung kita mahu juga ada di Sarawak.

Saya yakin dan percaya negeri ini berada pada landasan yang betul kearah ekonomi yang lebih mantap berdasarkan prestasi Kerajaan yang ada sekarang pada tahun-tahun yang lepas.

Dari segi prestasi ekonomi, sukacita dinyatakan bahawa Negeri Sarawak telah mendapat pengiktirafan “clean bill of health” untuk tempoh 14 tahun berturut-turut dengan rizab sebanyak RM27 bilion pada tahun 2014.

Sarawak merupakan antara penyumbang terbesar kepada ekonomi Negara. Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK nominal Negeri Sarawak pada tahun 2014 ialah RM119 bilion dan Pendapatan Per Kapita kita ialah RM44,000.

Statistik menunjuk ekonomi Negeri Sarawak lebih besar daripada ekonomi Pulau Pinang yang mempunyai KDNK Nominal RM71 bilion dan Pendapatan Per Kapita RM42,000.

Dari segi pelaburan, Sarawak menduduki anak tangga teratas antara negeri-negeri dalam tempoh empat tahun sejak tahun 2012. Negeri Sarawak telah menarik pelaburan secara konsisten daripada pelabur dalam negeri dan luar Negara.

Sarawak merakamkan jumlah pelaburan bernilai RM11.8 bilion dalam tahun 2015 dan merupakan destinasi pilihan kedua selepas Johor. Dengan pencapaian ini Negeri Sarawak berada pada tahap lebih baik daripada Selangor dengan jumlah RM7.96 bilion dan Pulau Pinang RM6.72 bilion.

Negeri Sarawak tidak mampu mencapai prestasi ekonomi seperti yang dirakamkan pada beberapa tahun yang lepas jika negeri ini tidak mempunyai sebuah Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab dan memandang jauh ke hadapan.

Negeri Sarawak tidak juga mampu mencapai kejayaan setakat ini jika rakyatnya tidak bersatu dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha pembangunan.

Sudah pasti mandat yang cukup besar yang telah diberi kepada saya memberi suntikan semangat kepada saya untuk berkhidmat dengan lebih yakin dan gigih lagi untuk kepentingan negeri Sarawak.

Sokongan padu rakyat Sarawak amat perlu khususnya dalam usaha mengembalikan kuasa-kuasa Negeri Sarawak dari Kerajaan Persekutuan yang telah terhakis pada masa yang lepas.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana sudi berunding dengan Kerajaan Negeri Sarawak agar kuasa-kuasa Negeri Sarawak seperti yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, Inter-Governmental Committee Report dan Malaysia Agreement 1963 yang telah terhakis selama ini dikembalikan kepada Negeri Sarawak.

Saya tahu juga penurunan kuasa dan pengembalian kuasa kepada Negeri Sarawak merupakan impian setiap warga Sarawak sejajar dengan hasrat-hasrat para pemimpin Negeri Sarawak yang telah bersetuju dengan Perjanjian Malaysia pada tahun 1963.

Proses perunding ini adalah rumit dan memakan masa yang panjang. Namun, dengan kesabaran dan sokongan padu rakyat Sarawak saya yakin kita akan berjaya akhirnya.

Sebagai umat Islam kita merayakan Hari Raya Aidilfitri dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan sebagai tanda kemenangan mengharungi pelbagai dugaan selama sebulan dalam bulan Ramadhan.

Umat Islam telah menahan diri daripada lapar dan dahaga serta mentarbiahkan diri dengan mengerjakan amal ibadah sepanjang bulan Ramadan demi menunaikan kewajipan sebagai seorang Mukmin.

Namun, berpuasa dalam Islam bukan hanya bermaksud menghindarkan diri daripada makan dan minum, tetapi daripada nafsu, keinginan yang mementingkan diri dan semua tindakan yang memudaratkan diri sendiri atau orang lain.

Dalam pada merayakan Aidilfitri ini kita umat Islam janganlah lupa mengenai hak-hak golongan yang memerlukan perhatian, sokongan dan bantuan kita agar mereka juga dapat sama-sama menyambut Hari Raya dengan penuh rasa kesyukuran terhadap limpah dan kurnia Allah Subhana Wa Ta’ala.

Atas dasar inilah syariat mewajibkan agar setiap daripada umat Islam menunaikan zakat fitrah pada Hari Raya Aidilfitri ini.

Saya mengajak seluruh anak Sarawak, tidak kira bangsa atau keturunan untuk sama-sama berusaha ke arah mengekalkan perpaduan dan keharmonian rakyat di negeri ini. Perbezaan pendapat, agama dan budaya tidak seharusnya menjadi benteng pemisah antara kita untuk membina Sarawak yang lebih maju, aman dan makmur.

Seperti yang telah menjadi amalan rakyat berbilang kaum dan agama di Negeri ini, marilah kita merayakan hari yang mulia ini dengan semangat muhibah dan persaudaraan antara sesama umat Islam dan rakan-rakan kita daripada keturunan dan agama lain.

Teruskanlah amalan kunjung mengunjung supaya Hari Raya menjadi lebih bermakna kepada kita semua.

Saya dan isteri akan mengadakan rumah terbuka di Pusat Konvensyen Borneo atau BCCK di Kuching pada hari pertama dan hari kedua Aidiliftri bermula jam 10 pagi sehingga 4 petang.

Bagi saudara dan saudari yang berkesempatan datanglah beramai-ramai ke BCCK pada hari-hari berkenaan.

Akhir kata, saya dan isteri serta keluarga dengan seikhlas hati mengucapan “SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI. MAAF ZAHIR DAN BATIN” kepada seluruh rakyat Negeri Sarawak.

Sekian. Wabillahitaufiq Walhidayah Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Adenan Satem & Jamilah beserta keluarga

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru