MADINAH: Sebuah bom meletup di luar Masjid Nabawi, dekat sini pada malam Isnin mengorbankan sekurang-kurangnya empat nyawa.

Menurut saksi, antara yang terbunuh dalam ledakan di kota suci Islam itu termasuklah pengebom berani mati itu sendiri dan tiga pegawai keselamatan.

Stesen berita tv Al-Arabiya melaporkan, ketiga-tiga pengawal keselamatan tersebut sedang berbuka puasa apabila mereka menyedari kehadiran lelaki yang mencurigakan itu.

“Gegarannya sungguh kuat, seperti sebuah bangunan sedang meletup,” kata seorang saksi, Ziyaad Patrl kepada agensi berita AP.

https://www.youtube.com/watch?v=RCRn6P8TJ8c

Beberapa rakaman video kemudian membanjiri media sosial memperlihatkan mayat bergelimpangan berhampiran bangkai kereta yang terbakar di kawasan parkir masjid.

Ketika pihak polis dan ambulans sibuk melaksanakan tugas mereka, ratusan orang ramai pula merakamkan kejadian itu depan telefon bimbit mereka.

Masjid Nabawi yang juga dikenali sebagai Masjid Nabi merupakan kawasan suci umat Islam. Ia dibina bersebelahan kediaman Rasulullah manakala makamnya turut terletak di sana, yang tidak putus-putus menerima tetamu.

Sementara itu, satu lagi letupan berlaku di Pelabuhan Jeddah dan di Qatif, kota yang dihuni masyarakat Islam Sunni.

Letupan oleh pengebom berani mati di Jeddah itu berlaku di luar pejabat konsulat Amerika Syarikat menyebabkan dua pengawai keselamatan cedera.

Di Qatif, ledakan berlaku bersebelahan dengan masjid ketika orang ramai sedang solat Asar. Bagaimanapun hanya serpihan anggota badan pengebom berani mati itu sendiri yang ditemui, tanpa melibatkan mangsa lain.

Setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan ini. Namun pihak berkuasa percaya ia dilakukan oleh kelompok pengganas Daiesh, yang sebelum ini mensasarkan penganut Syiah dan pasukan keselamatan dalam siri letupan bom di Arab Saudi, sejak 2014. – Sarawakvoice.com