Friday, October 7, 2022

Muhyiddin diperlaku seperti sampah, kata Shahruddin yang keluar dari Umno

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Naib Ketua Umno Bahagian Pagoh, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh berkata Majlis Tertinggi (MT) Umno telah memperlakukan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti ‘sampah’  apabila ia mengambil keputusan memecat beliau.

“Beliau diperlakukan seperti sampah dan petualang sebagai orang nombor dua negara,”’ katanya merujuk kepada ketua Umno Pagoh itu.

Shahruddin yang meletak jawatannya dalam parti itu berkuat kuasa semalam berkata: “Ini kerana saya dalam Umno telah berhempas-pulas habiskan masa dan waktu mencari orang untuk jadi ahli Umno, tetapi MT mudah-mudah saja pecat ahli.”

Menurut Dr Shahruddin, seperti dilaporkan Malaysia Dateline, peletakan jawatannya ini ekoran Umno Bahagian Pagoh sebulat suara menolak keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno kerana memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 Jun lalu.

Datuk Dr Shahruddin Md SallehBagaimanapun, beliau  mengekalkan kedudukannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jorak.

Surat peletakan jawatannya bertarikh 4 Julai telah diviralkan di media sosial dan WhatsApp sejak awal pagi semalam.

Surat  itu ditujukan kepada Pemangku Ketua Umno Bahagian Pagoh, Ismail Mohamad.

Bagi Shahruddin, inilah masa yang sesuai beliau meletakan jawatan sementara menunggu tindakan oleh Lembaga Disiplin parti atau Majlis Tertinggi (MT) mengambil tindakan terhadap keputusannya itu.

“Adalah amat sesuai untuk saya letak jawatan sebagai naib ketua bahagian Pagoh sementara menunggu hukuman lembaga disiplin atau MT.

“Sama ada saya diberikan amaran atau dipecat sebagai ahli Umno kerana ingkar dan menolak keputusan Majlis Tertinggi kerana telah memecat ketua Umno Bahagian Pagoh (Muhyiddin)

“Lebih baik masa tu saya berikan kepada membaca al-Quran dan mempelajari hal-hal agama dan bahasa Arab,” ujarnya seperti dilaporkan portal berkenaan.

Justeru, beliau berkata apabila telah meletak jawatan banyak perkara boleh dilakukannya, bahkan akan meneruskan tugasnya sebagai Adun Jorak sehingga tempoh Pilihan Raya Umum akan datang berakhir. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru