Wednesday, June 29, 2022

Letupan di Puchong ada kaitan dengan elemen militan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Sah, kejadian serangan dan letupan di sebuah pusat hiburan di IOI Boulevard di Puchong 28 Jun lalu, ada kaitan dengan elemen kumpulan pengganas militan IS.

Dalam serangan itu, sekurang-kurangnya lapan cedera, dalam insiden letupan yang pada awalnya dipercayai berpunca daripada bom tangan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan perkara itu hari ini,  susulan tertangkapnya  15 orang termasuk dua anggota polis berkaitan siasatan kes itu.

“Hasil siasatan, kita dapati memang benar, ada penglibatan elemen IS dalam kejadian yang berlaku pada Movida,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, semalam.

“Ini merupakan kes bom yang pertama di negara ini dan kita akan jalankan siasatan secara terperinci,” katanya.

“Kita dapati bahawa mereka menerima arahan daripada seorang rakyat Malaysia bernama Muhammad Wanndy Mohamad Jedi yang berada di Syria supaya melancarkan serangan di Malaysia,” katanya.

Khalid berkata, pemimpin kanan kerajaan termasuk perdana menteri, pemimpin kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan hakim antara yang menjadi sasaran kumpulan IS kerana menghalang kegiatan mereka.

Khalid berkata, suspek turut diarah menyerang beberapa pusat hiburan kerana didakwa tidak Islamik.

Bagi membantu siasatan, polis kini mencari Md Saifuddin Muji, 28, dan Jasanizam Rosni, 33 yang masing-masing beralamat di Rengit serta Batu Pahat, Johor.

Katanya, dua anggota polis berpangkat pegawai rendah yang bertugas di Pulau Pinang dan Kedah  berperanan sebagai perancang kegiatan jenayah samun bagi mendapatkan dana membiayai kumpulan IS.

Beliau menyeru orang ramai  supaya memberi kerjasama kepada polis supaya kegiatan IS dapat dilumpuhkan.

Katanya, PDRM akan mengambil segala langkah kawalan keselamatan serta memantau laman media sosial yang cuba mempengaruhi masyarakat. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru