ZAMBOANGA: Pengganas Abu Sayyaf semalam mengugut untuk memenggal kepala seorang lagi mangsa culik dari Norway, Kjartan Sekkingstad jika penasihat keamanan Presiden, Jesus Dureza berdegil enggan merundingkan sebarang bayaran tebusan.

Akhbar The Philippine Inquirer yang memetik jurucakap Abu Sayyaf, Abu Rami berkata, jika tidak ada sebarang perkembangan, kepala lelaki Norway itu akan dipenggal hari ini (semalam).

“Keputusan itu diambil susulan kenyataan Dureza bahawa dasar kerajaan tidak akan melayan sebarang tuntutan tebusan.”

abu-isisAbu Sayyaf sebelum ini menuntut 300 juta peso (RM25.57 juta) untuk pembebasan Sekkingstad.

“Kami mendapat maklumat bahawa wang tebusan sudah sedia untuk dibayar dan sedang menunggu seseorang untuk menyerahkannya.

Sekkingstad merupakan salah seorang daripada empat mangsa yang diculik dari sebuah marina di kepulauan kota Samal di Davao del Norte pada November tahun lalu.

Pengumuman rasmi dilakukan setelah dua hari bahagian anggota badan Robert Hall, rakyat Kanada yang dipenggal kepalanya ditemui di Sulu, pada Sabtu lalu.

Hall dipenggal pada 13 Jun lalu setelah kumpulan pengganas ini gagal menerima wang tebusan yang mereka tuntut. Kepalanya dijumpai pada hari yang sama di Kathedral Jolo.

Beliau merupakan mangsa culik kedua yang dibunuh kumpulan ini selepas seorang lagi rakyat Kanada, John Ridsdel yang menerima nasib serupa pada April.

Isteri Hall, Marites Flo, rakyat Filipina bagaimanapun dibebaskan pada 24 Jun lalu. – Sarawakvoice.com