PUTRAJAYA:  Sekitar 70,000 pengunjung dijangka hadir bagi memeriahkan Majlis Rumah Terbuka  Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di Kompleks Seri Perdana di sini, esok.

Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Othman Mahmood berkata, majlis rumah terbuka dari jam 10 pagi hingga 4 petang itu bertujuan mengeratkan silaturahim antara pemimpin dengan rakyat.

Othman berkata perkhidmatan bas percuma disediakan dari tiga lokasi, iaitu Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra untuk kemudahan orang ramai menghadiri majlis itu.

“Orang ramai digalakkan menaiki bas yang disediakan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. Perkhidmatan bas akan memberi keselesaan terbaik kepada para pengunjung,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta anggota jemaah menteri mempersilakan orang ramai hadir ke majlis itu.

“Pelbagai juadah raya yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia akan disediakan. Pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan yang menonjolkan keunikan kebudayaan Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan terakhir rumah terbuka di Kompleks Seri Perdana di sini, Selasa.

Othman berkata, aspek keselamatan diberi keutamaan agar majlis itu berjalan lancar.

“Polis Diraja Malaysia dan Bahagian Keselamatan Jabatan Perdana Menteri sentiasa memberi perhatian utama kepada aspek keselamatan.

“Kita juga menggalak pelancong berkunjung dan memeriahkan majlis bagi melihat keunikan Malaysia dan kesatuan rakyat bersempena sambutan Aidilfitri,” katanya.

Othman juga memberi jaminan makanan disediakan mencukup  sambil mengingatkan mengingatkan orang ramai agar tidak tapau makanan agar lebih ramai dapat menikmatinya.

Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan sebelum ini mengingatkan orang ramai agar berpakaian kebangsaan dan bersesuaian menghadiri majlis itu. – Sarawakvoice.com