Saturday, May 21, 2022

Ujian doping terhadap semua pemenang pingat SUKMA – Karim Hamzah

Secara Rawak

KUCHING: Semua atlet dan pegawai yang terlibat dalam kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA VXIII) Sarawak yang akan membuka tirai pada 22 Julai ini telah diperingat akan isu penggunaan doping dan dadah stimulant.

Chef de mission pasukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dalam kejohanan pada kali ini, ujian doping akan diwajibkan kepada semua pemenang, baik yang memenangi pingat emas, perak mahupun gangsa, termasuk acara berpasukan.

“Manakala ujian secara rawak dan rambang akan diadakan terhadap mana-mana atlet, sebagai usaha kita mengekang penggunaan dadah dan bahan rangsangan terlarang,” katanya ketika ditemui di sini.

_MG_7203Jelasnya lagi, ujian ini akan dikendalikan oleh badan berkecuali iaitu Agensi Antidoping Malaysia (Andamas) yang pakar dalam pengambilan sampel.

“Semua atlet dan jurulatih memang telah kita maklumkan berhubung perkara ini dan diarahkan bersiap sedia kerana kita tidak mahu atlet-atlet kita berhadapan masalah kecacatan dan sebagainya selepas SUKMA, kesan daripada doping ini.

Pada 19 Jun lalu, Majlis Sukan Negara (MSN) memaklumkan akan keputusan Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin Abu Bakar untuk turut melakukan ujian pernafasan bagi mengesan alkohol dan memastikan semua atlet Sukma VXIII bebas daripada anasir-anasir luar.

Sekiranya ada atlet yang terlibat dengan doping, mereka bakal berhadapan penggantungan seperti ditetapkan oleh Agensi Antidoping Dunia (WADA).

Jika sabit kesalahan dan didapati positif, mereka bakal berhadapan penggantungan automatik .

Untuk rekod, Malaysia merupakan salah satu negara yang mendukung antidoping seluruh dunia.

Dalam kejohanan SUKMA VXII di Perlis pada 23 Mei hingga 3 Jun 2014, seramai tiga atlet telah disahkan gagal dalam ujian doping.

Mereka ialah Dhia Danial Mohd Kharil daripada Wilayah Persekutuan (sukan berbasikal), Siti Fazera Ishak dari Perlis (angkat berat 75 kg) dan Jelinie Em Pera dari Sarawak (angkat berat 75 kg).

Kesan daripada ujian itu, dua butir emas yang dimenangi Jelinie Em Pera telah ditarik balik manakala Anugerah Atlet Wanita Terbaik Sukan Malaysia Perlis 2014 yang turut dimenanginya dibatalkan.

Menurut Peraturan Am Sukan Malaysia Perkara 7.3, jika seseorang peserta itu mewakili pasukan/ mengambil bahagian dalam acara individu dan didapati positif ujian doping dan/atau ujian breathalyser, pasukan/ penyertaan individu tersebut dengan sendirinya akan terbatal.

“Sekiranya pasukan atau individu yang dibatalkan turut memenangi pingat, kemenangan tersebut akan juga turut terbatal dan pingat-pingat yang dimenangi akan ditarik balik.

“Pingat-pingat dan mata sebaliknya akan dianugerahkan kepada peserta-peserta terbaik berikutnya.”

Seramai 405 atlet telah diambil sampel air kencing secara rambang untuk ujian antidoping pada SUKMA Perlis yang lalu dan sampel-sampel tersebut telah dihantar untuk dianalisis di National Dope Testing Laboratory-New Delhi, India.

Hasil ujian tersebut, sampel atlet Dhia Danial dan Jelinie Em Pera telah disahkan mengandungi “Anabolic Steroid” manakala sampel Siti Fazera didapati mengandungi” Diuretics”, kedua-duanya bahan yang dilarang oleh WADA. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru