Sunday, November 27, 2022

Sasar 72 emas, Sarawak buru juara kali keempat Sukma XVIII

Secara Rawak

KUCHING: Berbekalkan matlamat tinggi dengan semangat kental “Agi Idup Agi Ngelaban” Sarawak turun membawa misi memburu juara kali keempat pada temasya Sukan Malaysia (Sukma XVIII) bermula 22 Julai depan.

“Kita akan melakukan yang terbaik bagi memastikan kejuaraan Sukma XVIII menjadi milik Sarawak, sekali gus mengulangi kejayaan 1990, 1992 dan 1994,” kata Menteri Belia, Sukan dan Solidariti, Dato Sri Micheal Manyin Jawong.

Ketika berucap sempena Program “Meet and Greet’” Bersama Atlet Sukma Sarawak di sebuah pusat membeli-belah di Kuching, Manyin menyasarkan atlet Sarawak mengutip 72 pingat emas pada edisi Sukma kali ini.

Manyin mahu penantian 22 tahun sejak pernah menjuarai Sukma 1994 dapat dituai ketika Sarawak menjadi tuan rumah bagi penganjuran sukan berprestij siri ke-18 ini.

“Kita berharap semua atlet memperoleh pingat yang disasarkan, justeru persediaan rapi penting dari segi fizikal dan mental,” kata Manyin.

Turut hadir pada majlis tersebut, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. Abdul Karim mengingatkan agar semua atlet mengelak menggunakan bahan terlarang semasa menyertai Sukma XVIII.

“Kita tidak mahu berdepan masalah selepas menang dalam acara yang dipertandingkan,” kata Abdul Karim yang juga merupakan “Chef De Mission” bagi Kontinjen Sukma Sarawak kali ini. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru