Sunday, July 3, 2022

Salleh bidas Mahathir beri gambaran salah tentang kes Lim Guan Eng

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia membidas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberikan gambaran seolah-olah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng ditangkap dan didakwa kerana mengkritik Datuk Seri Najib Tun Razak.

Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pandangan Mahathir itu senada dengan laporan Wall Street Journal (WSJ) berhubung penangkapan Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Menurut Salleh dalam blog beliau sskeruak.blogspot.my, Mahathir menyatakan bahawa orang ditangkap atau dipecat dari parti kerana menghina orang lain atau untuk menggelar orang lain dengan bermacam gelaran yang teruk.

“Tentu Mahathir tidak serius dengan mencadangkan sebagai contoh, jika seseorang berkata umat Islam mengikuti agama syaitan (seperti apa yang mereka katakan di sesetengah negara) itu bukan jenayah dan tiada tindakan harus diambil,” katanya.

Salleh  berkata dalam politik, seseorang tidak harus hilang nilai-nilai kesopanan, kebenaran dan kesahihan daripada segi undang-undang mengenai apa yang mereka lakukan.

“Menggelar seseorang anjing atau babi tidak boleh diklasifikasikan sebagai mengkritik. Kita juga mempunyai undang-undang berhubung libel dan fitnah yang mentakrifkan sebagai jenayah untuk mendakwa sesuatu terhadap seseorang dengan dakwaan yang tidak benar,” kata beliau.

Pada 30 Jun, Lim mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada tanah pertanian kepada tanah kediaman serta pembelian sebidang tanah dan banglo di bawah harga pasaran.

Mahkamah Tinggi George Town, Pulau Pinang membenarkan Lim diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin dan juga membenarkan beliau menyimpan pasportnya.

Dalam posting  menerusi blog Chedet.cc semalam, Mahathir berkata kerajaan  hanya boleh mengambil tindakan sekiranya undang-undang negara ini benar-benar dicabuli.

Menurut Mahathir, namun begitu, tindakan yang diambil berkenaan seharusnya mengikut proses undang-undang dan bukannya hanya melalui keputusan  jawatankuasa parti.

Kata Mahathir: “Kerajaan perlu bersedia dikritik, dituduh salah laku. Hanya jika benar-benar undang-undang dicabuli maka bolehlah kerajaan mengambil tindakan.”

Beliau berkata, setiap individu adalah sama di sisi undang-undang dan tidak ada sebarang pengecualian atau keistimewaan buat mana-mana pihak yang berkuasa memandangkan proses keadilan perlu diikuti oleh semua.

“Tetapi apabila jenayah besar dibenarkan bebas semata-mata kerana orang yang terlibat berkata dia tidak bersalah, maka kita perlu mempersoalkan sama ada undang-undang sama dipakai kepada semua,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru