Kes kita tak sama, kata Khir Toyo kepada Lim Guan Eng

0
17

KUALA LUMPUR: Kes kita tak sama.

Itulah mesej yang mahu dihantar oleh bekas bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melalui satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebooknya.

Justeru, Khir Toyo menggesa Lim Guan Eng tidak terus  membandingkan kes mereka kerana ia jelas berbeza.

Khir Toyo menyifatkan pendakwaan terhadap Guan Eng sebagai “poetic justice’.

“Ketika saya dihukum penjara, DAP menganggap ia satu kemenangan besar mereka.

“Justeru, sungguhpun saya bersimpati dengan nasib Lim Guan Eng, saya fikir kenyataan paling tepat untuk DAP ialah seperti yang diungkapkan oleh Naib Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan – ‘padan muka’,” katanya.

Khir dijatuhi hukuman penjara 12 bulan pada September tahun lalu selepas disabitkan atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan dua lot tanah dan sebuah banglo daripada Ditamas di Shah Alam bernilai RM6.5 juta untuk dirinya dan isterinya.

Pada bulan Mac, beliau menjalani perintah parol selepas menjalani hukuman  enam bulan penjara sebelum dibebaskan dua bulan kemudiannya.

Kata Khir, dalam kes beliau, mahkamah mendapati beliau bersalah kerana saksi pendakwa memberitahu mahkamah, beliau tidak setuju dengan harga RM3.5 juta tetapi terpaksa menjualnya kerana bimbang perniagaan beliau di Selangor terjejas.

13567386_1257197184292948_9210461207008134061_n

“Justeru, saya nasihatkan Guan Eng berhenti membandingkan kes beliau dengan kes saya. Malah kes saya tidak sama dengannya kerana beliau turut didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang tentunya membabitkan kesalahan lebih serius,” katanya dalam catatan terbaharu Facebooknya.

Bagi pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa meluluskan permohonan penzonan semula zon pertanian kepada perumahan am kepada Magnificient Emblen Sdn. Bhd pada 18 Julai 2014.

Bagi pertuduhan kedua, Guan Eng didakwa mendapatkan lot tanah dan sebuah rumah di  daripada Phang Li Koon pada harga RM2.8 juta pada 28 Julai 2015.

Namun, setiusaha DAP  itu menolak dakwaan kesnya sama dengan pendakwaan ke atas Khir Toyo dulu.

“Telah ada usaha untuk menyamakan kes saya dengan kes Khir Toyo. Ini sama sekali salah. Tidak seperti kes Khir Toyo, Phang Li Koon tidak rugi sehingga RM5 juta, malah memperoleh keuntungan kecil sebanyak RM300 ribu daripada harga asal RM2.5 juta yang dibayarnya. Tidak seperti kes Khir Toyo, Phang bukanlah pemaju perumahan yang harus bergantung kepada kerajaan negeri untuk meneruskan perniagaannya,” kata Guan Eng.

Bagaimanapun, menjawab  persoalan tersebut,  Khir Toyo berkata, “jawapan saya, tidak seperti beliau membeli rumah yang lengkap dan sedia diduduki, Guan Eng meninggalkan fakta bahawa saya membeli sebuah rumah separuh siap tanpa CF (Sijil Kelayakan) dengan harga RM3.5 juta.”

Menurut Mohamad  Khir Toyo, harga asal RM6.5 juta merupakan nilai sebuah rumah lengkap sekali dengan perabot.

“Saya suka mengingatkan Guan Eng keputusan mahkamah ke atas saya langsung tidak mengambil kira hakikat penjual rumah saya tidak mendapat apa-apa keistimewaan dari kerajaan negeri Selangor pimpinan saya,” katanya. – Sarawakvoice.com