Monday, November 28, 2022

Kes Guan Eng: Lim Kit Siang mahu jelajah seluruh negara

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:  Ketua Parlimen DAP akan menjelajah ke seluruh negara.

Tujuannya? Bagi memberi penjelasan dan untuk mendengar sendiri pandangan masyarakat mengenai kedudukan Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, susulan perbicaraan kes yang dihadapi Setiausaha Agung DAP itu.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, walaupun DAP telah sebulat suara meluluskan resolusi menyokong kepemimpinan Guan Eng, Kit Siang tetap mahu mendengar pandangan rakyat mengenai keputusan itu.

“Parti mempunyai hak untuk membuat keputusan terhadap hal berkenaan, namun saya akan tetap mengadakan lawatan untuk mendengar pandangan masyarakat mengenai sama ada Guan Eng patut letak jawatan atau bercuti,” katanya dalam satu kenyataan.

Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP semalam sebulat suara memutuskan Guan Eng boleh terus bertindak sebagai Setiausaha Agung parti itu memandangkan dua dakwaan rasuah yang dikenakan terhadapnya bermotif politik semata-mata.

Menurut Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, kedua-dua dakwaan rasuah ke atas Guan Eng tersebut, masing-masing di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 di bawah Kanun Keseksaan, adalah tidak berasas, berniat jahat dan merupakan penganiayaan politik.

Oleh itu, katanya,  tidak ada sebab mengapa Guan Eng perlu bercuti dari jawatannya sebagai Setiausaha Agung atau Ketua Menteri Pulau Pinang.

Hal ini “kerana tidak wujud konflik kepentingan dan beliau tidak mempunyai kuasa mempengaruhi atau mengawal proses pendakwaan.”

Guan Eng menyifatkan dua pertuduhan terhadapnya  di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Kanun Keseksaan atas dakwaan rasuah  sebagai tindakan penganiayaan politik yang dilaksanakan dengan tujuan menghancurkannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Kata Guan Eng: “Saya telah menjelaskan kepada SPRM bahawa pembelian rumah daripada Cik Phang Li Koon adalah dilakukan dengan tulus hati, antara individu yang tidak mempunyai kepentingan perniagaan, atas dasar kerelaan penjual dan pembeli tanpa sebarang paksaan atau sebarang balasan istimewa daripada saya mahupun kerajaan negeri.

Katanya, Phang adalah rakan isteri beliau dan tidak mempunyai sebarang hubungan perniagaan yang aktif dengan kerajaan negeri. Phang bukan pemaju perumahan dan rumah yang dijual kepada saya untuk harga RM2.8 juta telah dibina pada tahun 1980-an.

“Phang bukanlah pemaju perumahan yang haru bergantung kepada kerajaan negeri untuk meneruskan perniagaannya,” katanya.

Tentang pertuduhan kedua berkait kelulusan permohonan Magnificent Emblem Sdn. Bhd. (MESB) untuk menukar status tanahnya daripada tanah pertanian kepada tanah perumahan; Guan Eng menjelaskan, MESB tidak berjaya melakukan pertukaran status hartanahnya kepada tanah perumahan. Hartanah tersebut masih kekal sebagai tanah pertanian. Apa faedah yang didapati MESB apabila ia tidak mendapat kelulusan pertukaran status terbabit apabila ia tidak mendapat izin akhir daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru