PUTRAJAYA: Dengan mandat kuat di belakangnya, Ketua Menteri Sarawak,  Tan Sri Adenan Satem berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sekitar jam 9.30 pagi tadi di Bangunan Perdana Putra, di sini.

Meskipun usaha pemberita untuk mendapat ulasan Adenan mengenai pertemuannya dengan Najib gagal, namun difahamkan agenda utama  adalah untuk membincangkan hal berkaitan penurunan kuasa kepada kerajaan negeri.

Januari lalu, sebanyak 13 perkara dipersetujui Kerajaan Persekutuan untuk diberikan lebih kuasa pentadbiran kepada Kerajaan Sarawak dalam pertemuan antara Najib dengan Adenan Satem.

adenan_0000Tujuan penurunan kuasa itu adalah  untuk melancarkan lagi perjalanan pentadbiran dan mengelakkan pertindihan yang boleh menjejaskan program pembangunan dirancang, termasuk isu kelewatan projek.

Adenan bertanggungjawab menggerakkan usaha menuntut penurunan lebih banyak kuasa pentadbiran kepada kerajaan negeri oleh Kerajaan Persekutuan tidak lama selepas menjadi  Ketua Menteri.

Adenan berkata, perbincangan proses penurunan kuasa fasa kedua membabitkan pertindihan kuasa antara agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri, manakala fasa ketiga mengenai pengurusan sumber termasuk royalti minyak.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri pada Ahad, mesyuarat di Putrajaya akan turut menyentuh Laporan Antara Kerajaan dan perakuannya, Perjanjian Malaysia, Akta Malaysia, dan Laporan Suruhanjaya Cobbold.

Laporan-laporan berkenaan antara lain, mengandungi tuntutan dan perjanjian yang dipersetujui antara pemimpin Sabah, Sarawak, dan Tanah Melayu menjelang pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Adenan akan mengemukakan dua memorandum tentang pendirian kerajaan negeri tentang penurunan kuasa kepada Perdana Menteri lebih dua minggu lalu.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, beliau dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman atas arahan Kabinet telah mempengerusikan sebuah mesyuarat tertinggi bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan isu semakan laporan penubuhan Malaysia ini.

Mesyuarat ini turut dihadiri Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali, serta wakil  Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.

Mesyuarat itu kemudian bersetuju untuk melantik sebuah jawatankuasa teknikal yang dianggotai wakil  Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, dan pakar sejarah daripada kedua-dua negeri terbabit, untuk melakukan semakan semula terhadap isu dan pelanggaran konsensus penubuhan Malaysia sebelum ini.

“Jawatankuasa teknikal tersebut bertanggungjawab untuk mengenal pasti pelanggaran berkaitan hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam persekutuan, dengan laporan awalnya dijangka dikemukakan kepada Kabinet pada hujung tahun ini,” katanya.

the adenan way (1)

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri ke-18 baru-baru ini, Adenan telah menghuraikan dengan panjang lebar tentang isu berkenaan.

Januari lalu, Adenan berkata, perkembangan itu jelas memperlihatkan keprihatinan Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan terhadap hak dan kepentingan negeri ini serta rakyatnya.

Antara 13 perkara dipersetujui ialah peningkatan pengambilan anak Sarawak dalam kerjaya perguruan bagi memastikan sekurang-kurangnya 90 peratus guru di negeri ini terdiri dari anak tempatan menjelang 2018; dan penyertaan kerajaan negeri dalam proses pengeluaran perikanan laut dalam melalui Jawatankuasa Penilaian Permit Perikanan Laut Dalam.

Persetujuan turut dicapai dalam konteks pelaksanaan program pembangunan Kerajaan Persekutuan di Sarawak yang perlu dirujuk atau dibincangkan bersama kerajaan negeri.

Menjelang pilihan raya negeri 7 Mei lalu, Adenan meminta pengundi supaya memberi sokongan padu agar beliau dapat bersuara bagi pihak Sarawak terhadap Kerajaan Persekutuan.

Dengan taraf populariti mencecah 85 peratus, Adenan menerajui pilihan raya itu dengan yakin. Barisan Nasional memenangi 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan, serta berjaya merampas lima kerusi majoriti Cina daripada DAP. – Sarawakvoice.com