Pengawal keselamatan haram warga asing ancam keselamatan penduduk

0
15

KUALA LUMPUR: Terdapat syarikat kawalan keselamatan di negara ini yang tidak mematuhi peraturan pihak berkuasa dengan menggaji pengawal keselamatan warga asing secara haram sehingga jumlahnya kini mencecah 30,000 orang.

Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Datuk Seri Mustapa Ali berkata situasi ini menimbulkan kerisauan dan ketakutan di kalangan penduduk khususnya mereka yang tinggal di kawasan perumahan yang menggunakan khidmat syarikat kawalan keselamatan.

Screen Shot 2016-07-02 at 06.35.06Beliau berkata tindakan segelintir syarikat kawalan keselamatan terbabit yang cuba mengaut keuntungan dengan membayar gaji yang murah tanpa saringan latar belakang mengundang risiko kepada keselamatan penduduk.

Malahan, katanya kebajikan pengawal keselamatan haram ini sering diabaikan majikan sehingga mendorong mereka melakukan kegiatan jenayah untuk kelangsungan hidup seperti yang sering di laporkan media.

Mustapa berkata 30,000 pengawal keselamatan haram ini bekerja secara bebas dan sukar dipantau kegiatan mereka,

“Kami tidak menolak kemungkinan ada di kalangan mereka mempunyai rekod jenayah atau bekas banduan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kebanyakan pengawal keselamatan haram itu terdiri daripada warga Indonesia dan Bangladesh sedangkan di Malaysia, selain warga tempatan, hanya warga Nepal dibenarkan bekerja dalam sektor ini.

Menurutnya, sebanyak 163,000 pengawal keselamatan tempatan berdaftar di negara ini manakala 28,000 adalah warganegara Nepal. Terdapat kira-kira 800 syarikat pengawal keselamatan yang sah di negara ini.

Mustapa berkata ada kalangan pengawal keselamatan haram diekploitasikan oleh majikan seperti tidak dibayar gaji, kelewatan pembayaran gaji, kemudahan penginapan yang jauh tidak selesa serta tiada kemudahan perubatan.

Beliau berkata pengawal keselamatan yang menjadi mangsa kezaliman majikan takut untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa atau PPKKM kerana tidak memiliki permit kerja atau berdaftar secara sah.

Mustapa percaya syarikat kawalan keselamatan rela berkompromi dalam isu keselamatan negara dengan tidak mengikut prosedur pengambilan pekerja, semata-mata mahu mengaut keuntungan berlebihan.

“Mereka ini mengurangkan kos operasi dengan membayar gaji lebih murah, menyewa rumah di kawasan setinggan, tidak perlu membayar levi, insurans atau menyediakan kemudahan perubatan,” katanya.

Berikutan masalah kebanjiran pengawal keselamatan haram, beliau berkata PPKKM telah menubuhkan satu pasukan petugas bersama polis dan Jabatan Imigresen awal tahun ini bagi menangani masalah tersebut. – Bernama