Sunday, September 25, 2022

Pendakwaan Lim Guan Eng tidak bermotif politik, kata Menteri

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata bahawa pendakwaan terhadap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tidak bermotifkan politik dan tidak berkaitan dengan mana-mana parti; sebaliknya berdasarkan aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, kini terserah kepada mahkamah untuk menilai asas-asas pendakwaan dan pada masa sama, Ketua Menteri Pulau Pinang itu akan diberi peluang untuk membersihkan dirinya.

“Ini sistem yang diamalkan di negara kita, jadi adalah tidak tepat sekali mereka menuduh ia perbuatan BN sedangkan dakwaan itu berdasarkan aduan yang diterima SPRM…jadi, kita serahkan saja kepada mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya selepas melancarkan program khas ‘Mesej Daripada Perdana Menteri’ (MDPM) di Stesen Keretapi Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Guan Eng, 56, dituduh menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri untuk kepentingan peribadi dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan urusan menukar status sebidang tanah daripada tanah pertanian kepada tanah kediaman dan memindah miliknya kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Bagi tuduhan kedua, setiausaha agung DAP itu dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isteri secara rasuah sebidang tanah serta banglo di 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini, daripada seorang ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon pada harga RM2.8 juta.

Bagi Salleh, keputusan DAP supaya Lim Guan Eng tidak melepaskan jawatan sebagai ketua menteri Pulau Pinang berikutan kes mahkamah dihadapinya, menunjukkan parti itu hanya mementingkan jawatan semata-mata.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru