Wednesday, June 29, 2022

Malindo Air sambung kembali penerbangan KLIA – Sibu dan KLIA Miri

Secara Rawak

MIRI: Selepas ditangguh sejak 1 November 2013 kerana kekurangan penumpang, Malindo Air membuka kembali penerbangan untuk sektor Miri – Kuala Lumpur dan Sibu – Kuala Lumpur, bermula semalam.

Pembukaan semula sektor ini memberi nafas kelegaan kepada penduduk di kedua-dua kawasan itu untuk menikmati penerbangan tambang murah dan selesa.

Penerbangan sulung semalam yang membawa 129 penumpang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 8 pagi semalam dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Miri, dua jam kemudian.

Para penumpang kemudian disambut Menteri Muda Pelancongan, Datuk Lee Kim Shin, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datu Ik Pahon Joyik dan Timbalan Residen Miri, Abdul Aziz Mohd Yusof.

Menurut Ketua Pegawai Komersial Malindo Air, Dato Bernard Francis, pihaknya memohon maaf kepada rakyat Sarawak atas penggantungan penerbangan di sektor itu sebelum ini kerana “masalah komersial”.

“Kini penerbangan ini lebih bersedia dan yakin untuk muncul sebagai syarikat penerbangan serantau, dengan perkhidmatan sepenuhnya serta pelan konektiviti yang lebih baik .

Penyambungan semula laluan Miri dan Sibu ini tambahnya, merupakan sebahagian daripada strategi penstrukturan semula pasaran Sarawak.

“Kami akan melihat juga laluan lain di negeri ini seperti Bintulu jika ia berdaya maju dari aspek komersial,” kata Bernard.

“Cadangan lain yang turut dipertimbang termasuklah laluan Miri –Shenzhen, selain pendekatan penerbangan sewa khas dengan sokongan daripada peserta industri di negeri ini,” katanya yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Rama Chandran Muthy.

Yang jelas katanya, penyambungan semula sektor penerbangan ke Miri dan Sibu adalah sebahagian daripada rancangan agresif untuk menghubungi semula pusat-pusat bandar di negeri ini, termasuk empat penerbangan harian ke Kuching dari KLIA ketika ini.

Malindo Air kini terbang ke 27 destinas di seluruh dunia.

Sementara itu, Lee Kim Shin berkata, usaha Malindo Air meneruskan penerbangan terus ke Miri selain menerokai lebih banyak destinasi lain adalah strategi pemasaran yang bijak, bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh program penyusunan semula Malaysia Airlines.

Mengenai cadangan untuk mewujudkan penerbangan langsung Miri-Shenzhen, Lee berkata ia bergantung kepada slot di lapangan terbang ini yang agak sibuk ketika ini manakala penerbangan sewa khas mungkin idea yang bernas terutamanya dalam menghadapi pasaran pelancong China, yang gemar datang dalam kelompok yang besar,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru