Tuesday, June 28, 2022

Lim Guan Eng tak perlu cuti atau berundur, kata Pakatan Harapan

Secara Rawak

GEORGETOWN: Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini berkata Lim Guan Eng, 56, tidak perlu mengambil cuti dan meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Sambil menzahirkan sokongan bahawa Lim Guan Eng, yang menghadapi dua pertuduhan kes rasuah, perlu meneruskan perkhidmatannya, pembangkang mendakwa bahawa  tindakan yang dikenakan terhadap Guang Eng adalah berkaitan politik dan satu inisiatif untuk mematikan kerjaya politik ketua menteri itu

Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman berkata, Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP mencapai persetujuan itu dalam mesyuarat pagi ini.

“Terdapat beberapa pendirian yang kami ambil berhubung keputusan ini, yang pertama jawatan yang disandang oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng sekarang ini tidak ada sebarang hubungan ataupun pengaruh dalam badan kehakiman dan juga lain-lain institusi perundangan dan penguat kuasa negara seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia). Jadi tidak ada campur tangan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabat ketua menteri di sini hari ini.

Guan Eng dihadapkan di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis atas pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri untuk kepentingan peribadi dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng.

Beliau didakwa meluluskan urusan menukar status sebidang tanah daripada tanah pertanian kepada tanah kediaman dan memindah miliknya kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Setiausaha Agung DAP itu juga menghadapi satu lagi pertuduhan, iaitu mendapatkan untuk dirinya dan isteri secara rasuah sebidang tanah serta banglo di 25, Jalan Pinhorn di sini daripada seorang ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon pada harga RM2.8 juta, sedangkan nilaian semasa hartanah itu adalah RM4.27 juta yang mana tertuduh mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya (Guan Eng).

Bagi pertuduhan pertama Guan Eng didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua,  Guan Eng  didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru