Sunday, November 27, 2022

Kerajaan negeri belanja RM450 juta untuk naik taraf gelanggang, operasi SUKMA – Tan Sri Morshidi Ghani

Secara Rawak

KUCHING: Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan Malaysia (SUKMA) ke-18, Tan Sri Morshidi Ghani hari ini berpuas hati dengan segala bentuk persiapan untuk menjayakan temasya tersebut, yang akan bermula pada 22 Julai ini.

Menurutnya, segala bentuk persiapan kini berada dalam 99.9 peratus siap dan sedia untuk digunakan.

“Hanya sedikit penambahan serta kerja-kerja kecil yang perlu dilaksanakan menjelang temasya tersebut.

“Pagi tadi kita telah mengadakan raptai dan melakukan simulasi dalam pelbagai perkara, termasuk aspek pergerakan pengangkutan, hingga kepada penganjuran acara, sistem pemarkahan dan pengurusan kepada pihak media.

“Dan setelah itu kita mengenal pasti beberapa masalah dan kekurangan kecil, yang akan ditangani sebelum kejohanan bermula,” katanya pada sidang media di Pusat Media SUKMA ke-18 di Pusat Akuatik Sarawak, dekat sini pagi tadi.’=

Rapatai yang melibatkan pergerakan pengangkutan dari perkampungan sukan di UNIMAS hingga ke venue-venue pertandingan, yang kebanyakannya terletak di Kompleks Sukan Sarawak berlangsung lancar, sejak jam 6.45 pagi tadi.

suk2

Menurut Morshidi, bagi memastikan temasya ini berlangsung meriah, Kerajaan Negeri telah berbelanja lebih RM400 juta untuk menyediakan pelbagai bentuk prasarana termasuk stadium dan gelanggang pertandingan yang mematuhi standard pertandingan antarabangsa.

“Sebanyak RM50 juta lagi diperuntukkan untuk perbelanjaan operasi yang sebahagian besarnya merangkumi makanan, pengangkutan , sistem media, sistem pengurusan acara selain penginapan untuk pasukan teknikal.

Kata Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak itu lagi, bagi memastikan kelancaran program, sebanyak 100 buah bas akan digunakan untuk membawa atlet dan pegawai dari perkampung sukan ke venue yang ditetapkan.

“Daripada jumlah ini, kita menggunakan 25 buah bas yang disumbangkan oleh Rapid KL sebagai syarikat pengangkutan rasmi, selain kenderaan lain seperti pacuan empat roda, van, bas kecil dan sebagainya.

“Manakala makanan untuk para atlet di perkampungan sukan pula akan disediakan percuma kepada atlet, sambil diselia oleh Jabatan Kesihatan bagi memastikan tahap kebersihannya terpelihara.

Morshidi menambah, dengan penglibatan sekitar 5,000 atlet yang beraksi dalam 24 jenis sukan di 21 venue, beliau menjanjikan acara ini akan berlangsung meriah sepanjang sembilan hari ia berlangsung.

Program akan bermula dengan majlis perasmian Perkampungan Sukan SUKMA ke-18 di UNIMAS, Kota Samarahan pada 22 Julai, diikuti perasmian temasya oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud pada 23 Julai.

Majlis penutupan rasmi akan berlangsung gilang-gemilang di Stadium Sarawak pada 31 Julai, dan dijangka akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak. – Sarawakvoice.com

suk

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru