Sunday, November 27, 2022

SUKMA: Atlet Sarawak guna pengalaman Macau buru emas

Secara Rawak

KUCHING: Skuad Sarawak membuat persiapan rapi dalam usaha memburu emas acara tenpin boling SUKMA yang akan berlangsung di arena baharu, Pusat Boling Megalane, Batu Kawa pada 23 hingga 30 Julai depan.

Pengurus pasukannya, Robert Lu berkata, anak-anak buahnya telah berlatih gigih dan baru-baru ini diberi peluang menyertai pertandingan pendedahan di Kejohanan Tenpin Boling Terbuka Macau, di Avevide de Nave Deportiva Cotai, Macau.

“Ia sebagai sebahagian daripada latihan pendedahan terakhir skuad negeri itu sebelum mereka beraksi dalam SUKMA.

“Pada masa yang sama, ia adalah pengalaman yang baik untuk mereka berdepan kejohanan kompetitif sebelum diikat dengan latihan berpusat selepas ini,” katanya lagi yang juga Timbalan Presiden Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS).

Dalam kejohanan di Macau katanya, pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran kerana mahu ia menjadi sebagai kejohanan pendedahan kepada atlet-atlet yang terlibat.

“Kita tidak meletakkan sebarang sasaran kerana tidak mahu atlet terlalu awal berada di kemuncak prestasi.

“Sebaliknya kita hanya berusaha meningkatkan moral dan tahap keyakinan mereka agar dapat membina momentum yang positif apabila menyertai apa jua kejohanan kompetetif,” katanya lagi.

Dalam kejohanan kali ini, Sarawak akan diwakili oleh enam atlet lelaki dan enam atlet wanita.

SUKMA BOWLING TEAM

“Mereka ialah Christopher Tiong Lee Siong, Mohd Shafiq Sajeli, Mohd Uzair Iryad Noor Azrul, Abang Afiq Yazid Abang Azman, Ervin Lim Wai Mun dan Musayyar Khalid.

“Manakala atlet wanita ialah  Jocelyn Judith Jonathan, Nerosha Keligit Thiagarajan, Jacelyn Ng Shuh Wun, Gillian Lim Siew Giok, Nur Shafiqah Sajeli dan Nur Aina Kamalia Abdul Ayub.

Dengan kebanyakannya adalah muka baharu, Robert berharap mereka boleh memberikan aksi yang baik selain menimba lebih pengalaman.

“Sasaran kita adalah untuk membolehkan mereka menyinar selepas ini, bagi bersaing dengan skuad senior di peringkat kebangsaan,” katanya.

Pada kejohanan SUKMA yang lalu di Perlis, atlet Sarawak, Daniel Tan Han Yan merangkul tiga emas dalam acara lelaki perseorangan, bertiga dan berpasukan lelaki selain memungut gangsa dalam acara ‘all-events’.

Seorang lagi atlet, Jonathan Ding Sagan meraih dua emas dalam acara masters dan berpasukan sementara Nerosha Keligit Thiagarajan, yang juga ada dalam skuad kali ini telah menggondol emas dalam acara wanita berdua serta memperoleh perak dalam acara all-events, bertiga dan berpasukan.

Sarawak pernah melahirkan juara dunia dalam acara tenpin boling apabila Jacqueline Jenelee Sijore memenangi emas acara perseorangan wanita pada kejohanan dunia yang diadakan di Hong Kong pada 2012. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru