Sunday, November 27, 2022

Pusat Skuasy Sarawak hampir sedia untuk anjur SUKMA

Secara Rawak

Tempoh kurang dua minggu diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk kontaktor Pusat Skuasy Sarawak (PSS) menyiapkan sentuhan akhir yang diperlukan oleh gelanggang itu untuk layak menjadi venue kejohanan SUKMA yang akan bermula 22 Julai ini.

Timbalan Ketua Setiausahanya, Nik Abdul Kadir Nik Mohammad berkata, ia adalah masa yang cukup kerana pada perancangan asalnya, pusat ini seharusnya  telah pun sedia untuk digunakan pada April lalu.

“Namun ia hanya siap sepenuhnya pada 15 Jun lepas, dan kini kerja-kerja ujian dan sentuhan akhir dilakukan bagi memastikan ia lengkap untuk dijadikan sebuah gelanggang pertandingan,” katanya yang ditemui ketika melawat pusat bertaraf antarabangsa itu di Kompleks Sukan Sarawak di Kuching.

Nik Abdul Kadir jelas berpuas hati dengan komitmen yang diberikan oleh pihak kontraktor kerana semasa lawatan terakhir beliau beberapa bulan lalu, keadaan projek masih lagi tidak teratur dan tampak mustahil dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Namun hari ini projek bernilai RM7 juta ini telah dapat disempurnakan, dan hanya memerlukan sedikit sentuhan akhir bagi membolehkan ia digunakan pada temasya SUKMA kelak.

Menurutnya lagi, pihaknya akan menyerahkan pusat skuasy ini kepada Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti Sarawak selepas semua keperluan venue tersebut lengkap sepenuhnya, termasuk diuji dari pelbagai aspek kelayakan.

“Terdapat beberapa kekurangan yang perlu diselesaikan dengan pihak kontraktor sebelum PSS diserahkan sepenuhnya  kepada kerajaan negeri.

“Insya-Allah, kita akan menyerahkan gelanggang ini sebelum SUKMA membuka tirai kerana kita mahu ia  dilengkapi dengan pelbagai dan  tidak mahu timbul isu kekurangan di kemudian hari,” tegasnya.

PSS yang dilengkapi lapan gelanggang termasuk dua bagi acara beregu ini  menjadi gelanggang  skuasy pertama di negara ini yang mempunyai gelanggang beregu.

“Meski ia sudah siap sepenuhnya,  gelanggang ini masih dalam tanggungan KBS dan kami akan memastikan kekurangannya diperbaiki dan masalah diatasi.

“Ini bagi membuktikan komitmen kami untuk terus menggalakkan  dan membantu pembangunan sukan skuasy di negeri ini,” katanya.

Sarawak pernah melahirkan beberapa jaguh sukan squasy di peringkat kebangsaan, dan antaranya termasuklah Azlan Iskandar. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru