Polis cekup 6 suspek bantu siasatan kes pembunuhan Bill Kayong

0
16

KUCHING: Seorang wanita merupakan antara enam suspek yang ditahan polis malam dan awal pagi tadi bagi membantu siasatan dalam kes pembunuhan Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Miri, Bill Kayong.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontijen Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dev Kumar berkata, kesemua suspek berumur sekitar 22 hingga 41 tahun.

“Mereka akan ditahan reman selama tujuh hari untuk proses soal siasat,” katanya yang juga ketua pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh Bukit Aman berhubung kes tersebut.

Bagaimanapun kata Dev, beliau tidak dapat mengulas lebih lanjut mengenai penahanan tersebut kerana bimbang ia akan menjejaskan siasatan.

Dalam kejadian pada 21 Jun lalu, Bill Kayong atau nama Islamnya Mohd Hasbie Abdullah, 43 tahun, ditemui mati di dalam kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux miliknya dengan kesan tembakan di bahagian leher, ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat, berhampiran pasar raya E-mart di Lutong.

Ketika kejadian, Bill sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Desa Senadin menuju ke pejabatnya di Permyjaya.

Bill, yang juga seorang aktivis Hak Tanah Adat Bumipitera serta menjadi Setiausaha Agung kepada Persatuan Dayak Sarawak (Pedas) pernah bertanding atas tiket PKR dalam pilihan raya negeri yang lalu di DUN Bekenu.

Sehingga kepada penangkapan enam suspek di atas, polis menemui jalan buntu dan merayu kepada orang ramai supaya tampil memberi maklumat, serta tidak membuat seberang spekulasi liar. – Sarawakvoice.com