Monday, November 28, 2022

Penganalisis politik percaya PBB akhirnya akan terima 9 Adun tanpa parti

Secara Rawak

KUCHING: Jalan yang dilalui oleh sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk menyertai PBB bukannya mudah.

Di sebalik tentangan parti komponen lain – PRS, SPDP dan SUPP, parti tulang belakang BN itu perlu menangani isu itu dengan teliti bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, dan tepung jangan sampai berselerak.

Sebelum pilihan raya negeri 7 Mei lalu, mereka bertanding atas tiket calon langsung BN, dan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mensyaratkan mereka perlu keluar parti masing-masing sebelum layak bertanding atas tiket BN.

Adenan berkata, mereka kemudiannya boleh memilih untuk menyertai mana-mana parti komponen BN.

Inilah menjadi puncanya apabila mereka memilih untuk menyertai PBB.

Dengan memenangi semua kerusi pada pilihan raya lalu, kini PBB mempunyai 40 Adun daripada 82 Adun.

Jika sembilan orang Adun diterima menganggotainya, bermaksud PBB bakal mempunyai 49 Adun.

Sembilan Adun terbabit ialan Tan Sri William Mawan Ikom (Pakan), Paulus Palu Gumbang (Batu Danau) dan Rosey Yunus (Bekenu) daripada Teras.

Tiga yang lain ialah Datuk Dr Jerip Susil (Mambong), Ranum Mina (Opar) dan Dr. Johnical Rayong Ngipa (Engkilili) dari UPP.

Tiga yang lain ialah Miro Simuh (Serembu), John Ilus (Bukit Semuja), dan Datuk Gerawat Gala (Mulu), iaitu ahli PBB yang turut disyaratkan keluar parti sebelum pilihan raya lalu.

Menyedari sensitiviti isu ini, PBB tidak akan membuat keputusan secara tergesa-gesa; sebaliknya keputusan muktamad akan hanya dibuat selepas semua pembentangan rasmi daripada semua wakil rakyat terbabit diterima.

Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mengulangi pendirian bahawa PBB memberi peluang untuk mereka berbincang dengan penyokong akar umbi mengenai hasrat mereka itu.

“Kita beri peluang mereka buat kerja mereka terlebih dahulu seperti diminta,” katanya.

Abang Johari yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak berkata demikian kepada pemberita pada majlis berbuka puasa Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, kelmarin.

Beliau mengulas laporan bahawa lebih 1,000 ahli Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) dari Pakan memohon untuk menyertai PBB, selepas delegasi diketuai bekas Ketua Pemuda Teras, Zubrisky Bansang mengemukakan 1,678 borang keahlian kepada Setiausaha Agung PBB Datuk Stephen Rundi Utom baru-baru ini.

Penganalisis politik percaya akhirnya, semua mereka akan diterima menganggotai PBB walaupun mendapat tentangan daripada parti komponen lain. Strategi memohon mereka kembali mendapatkan pandangan akar umbi adalah untuk mengabsahkan tindakan.

Lagipun, apakah yang dapat dilakukan oleh parti komponen lain jika mereka sudah memang berminat menyertainya, dan PBB pula bersedia menerima mereka.

Tidak ada peraturan mengatakan bahawa sesuatu parti tidak boleh menerima mereka. Segalanya bukan diukir di atas batu, dan ini sesuai dengan dinamika politik yang sentiasa berubah. -Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru