KUALA LUMPUR: Ramadan penuh dengan keberkatan. Selain ibadah puasa, tarawih dan bertadarus al-Quran, bersedekah, umat Islam menunggu dan mencari satu malam yang dinamakan Lailatul Qadr.

Sumber al-Quran menyebut, “Sesungguhnya kami telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu. Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat bersama Jibril dengan izin Tuhan, dia mengatur semua urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbit fajar. (maksud al-Qadr: 3-4)

Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim banyak menceritakan tentang kelebihan Lailatul Qadr. Salah satu hadis riwayat Bukhari Muslim yang bermaksud, “Carilah Lailatul Qadar pada malam ganjil dari 10 malam terakhir Ramadan.”

Malam ganjil yang dimaksudkan ialah malam 21, 23, 25, 27 dan 29 pada Ramadan. Terdapat hadis yang mengatakan Rasulullah SAW pernah menjumpai Lailatul Qadar pada malam 21 dan 23.

Dalam riwayat lain menceritakan ketika Rasulullah SAW ditanya sahabat tentang Lailatul Qadar baginda menjawab, ia boleh berlaku pada 27 Ramadan.

Yang pastinya waktu berlakunya Lailatul Qadar tetap dirahsiakan oleh Allah SWT agar umat Islam menghayati 10 malam yang akhir Ramadan dengan penuh amal ibadat.

Selama ini umat Islam memahami Lailatul Qadar bersumberkan al-Quran dan hadis, namun sejak 12 tahun lalu, pihak Badan Nasional Angkasa Amerika (NASA) juga sudah memperoleh sejumlah fakta berkaitan Lailatul Qadar.

NASA mendapati tanda hadirnya Lailatul Qadar sesuai dengan yang dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam al-Quran dan hadis.

Rasulullah SAW bersabda ketika hadirnya Lailatul Qadar, suhu di bumi sederhana, dengan malamnya tenang serta pada pagi harinya matahari bersinar cerah, namun tidak terasa bahang panasnya.

Menurut akhbar harian Mesir, al-Wafd, Ketua Lembaga Mukjizat Ilmiah al-Quran dan Sunnah Mesir, Dr. Abdul Basith as-Sayyid mengatakan bahawa sekitar 12 tahun lalu NASA pernah menemui ciri Lailatul Qadar sebagaimana diungkap Rasulullah SAW.

Pada Lailatul Qadar NASA mendapati bahawa malam tersebut terjadi fenomena aneh kerana meteor tidak jatuh ke atmosfera Bumi serta suhu udaranya sederhana, tidak sejuk dan tidak panas.

Padahal pada malam-malam biasa, NASA merekodkan sekitar 10,000 hingga 20,000 meteor jatuh ke atmosfera Bumi.

Selain itu, NASA juga mendapati matahari bersinar cerah, namun cahayanya tidak mengandungi radiasi.

Semua fakta yang dikumpul oleh pihak NASA ini sengaja tidak dihebohkan di media.

Dr Abdul Basith pada Julai 2015, menegaskan NASA menyembunyikan kepada dunia bukti empiris ilmiah tentang Lailatul Qadar.

Beliau juga mendakwa kelompok jutawan Arab kurang perihatin dengan hal ini sehingga dunia tidak mengetahuinya.

Dr Abdul Basith mengutip ucapan pakar di NASA bernama Carner.

Selain di akhbar, beliau juga mengulang fakta ini dalam sebuah program di TV Mesir.

Menurut Dr Abdul Basith, pakar NASA bernama Carner yang menemui fenomena Lailatul Qadr ini membuat laporan hasil kerjanya dan akhirnya apabila mendapati fakta ini sudah pun termaktub dalam al-Quran, Carner akhirnya memutuskan untuk memeluk Islam.

Bagaimanapun, beliau mempertaruhkan sesuatu yang besar iaitu kehilangan kerjayanya di NASA.

Selepas keislamannya, Carner menafsirkan fenomena “mencium Hajar Aswad” atau mengisyaratkan kepadanya – seperti penjelasan Dr Abdul Basith – bahawa batu itu merakam semua orang mengisyaratkan kepadanya (dengan lambaian tangan) atau menciumnya.

Carner juga mengungkapkan tentang sebahagian potongan Hajar Aswad yang pernah dicuri. Setelah 12 tahun diteliti, pakar di muzium Britain menegaskan bahawa batu tersebut memang bukan dari planet tatasuria Matahari.

Carner juga mendapati batu Hajr Aswad itu melancarkan gelombang pendek sebanyak 20 radiasi yang tidak terlihat ke segala arah. Setiap radiasi menembusi 10,000 kaki.

Carner menambah, batu itu mampu mencatat nama orang mengerjakan ibadah haji melalui radiasi gelombangnya.

Arrahmah.com menulis, sebagaimana diungkapkan oleh Dr Abdul Basith mendakwa bahawa Hajr Aswad mencatat nama setiap orang yang mengunjunginya baik semasa haji atau umrah.

Sebelum ini, NASA juga pernah mendapat kritikan dari pakar Islam. Pakar geologi Islam, Zaglol Najjar menegaskan bahawa NASA pernah menghilangkan satu halaman di laman rasminya yang pernah wujud selama 21 hari.

Halaman tersebut mengandungi kajian ilmiah tentang cahaya aneh yang tidak terbatas dari Kaabah di Baitullah ke Baitul Makmur di langit.

Dr Abdul Basith menegaskan, “jendela” yang berada di langit itu mirip yang disebutkan dalam al-Quran, “Dan jika seandainya Kami membukakan kepada mereka salah satu dari (pintu-pintu) langit, lalu mereka terus-menerus naik ke atasnya. tentulah mereka berkata: “Sesungguhnya pandangan kamilah yang dikaburkan, bahkan kami adalah orang yang kena sihir”.” (maksud al-Hijr: 14)