KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia membidas cara akhbar Wall Street Journal (WSJ) menyampaikan laporan berkaitan isu penangkapan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Menurut Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berita dalam WSJ, “Critic of Malaysia’s Najib Arrested on Corruption Charges” yang disiarkan pada edisi  Khamis menggambarkan seolah-olah keseluruhan isu itu ialah mengenai 1MDB dan Najib dan bukan kerana rasuah.

“Dan ini adalah agensi berita yang disebutkan oleh pembangkang sebagai untuk dipercayai, sangat profesional, tidak mempunyai agenda tersembunyi, tidak menyasarkan Najib, dan sebagainya,” katanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu  ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang kelmarin sejurus beliau menangguhkan mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri.

Sebelum ini,   Guan Eng disiasat SPRM berhubung pembelian sebuah banglo di Jalan Pinhorn di sini dengan harga RM2.8 juta daripada Phang Li Koon  yang dikatakan di bawah harga pasaran.
Pengerusi DAP negeri, berkata DAP menganggap tuduhan terhadap Lim berunsur politik untuk mematikan kariernya.

Salleh berkata, WSJ sebenarnya melaporkan mengenai penangkapan Guan Eng kerana rasuah tetapi cara ia menyampaikan tajuk berita memberi tanggapan bahawa Guan Eng ditangkap kerana mengkritik dan bukan kerana rasuah.

Perenggan pertama laporan itu menyatakan “Seorang ahli politik pembangkang Malaysia yang mengkritik pengendalian dana pelaburan negara 1Malaysia oleh Perdana Menteri telah didakwa terhadap pertuduhan rasuah atas peranannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.”

Jadi, sekali lagi, katanya, ia mempengaruhi atau menggambarkan dalam fikiran pembaca bahawa penangkapan Guan Eng adalah kerana kritikan beliau terhadap pengendalian Perdana Menteri berhubung 1MDB.

WSJ kemudian berkata: Pada Mei, kerajaan Pulau Pinang membekukan pembelian tanah seluas 234 ekar di negeri itu oleh 1Malaysia Development Bhd sehingga, Encik Lim berkata ketika itu, dana menguruskan hal-ehwalnya dengan “akauntabiliti dan ketelusan.”

“Seorang yang mempunyai kecerdikan yang terhad pun dapat melihat bahawa WSJ ialah bertentangan semua itu dan bahawa ia terlibat dalam kempen menentang Perdana Menteri dan kemungkinan terhadap Malaysia’” tambahnya.

Namun, ujar beliau, ramai yang masih percaya bahawa WSJ hanya cuba untuk mendedahkan kebenaran dan tiada membabitkan unsur berniat jahat. – Sarawakvoice.com