GEORGETOWN: Mesyuarat Tergempar DAP Pulau Pinang petang semalam bersetuju sebulat suara supaya Lim Guan Eng, tidak perlu mengambil cuti daripada tanggungjawabnya sebagai Ketua Menteri.

Pengerusinya, Chow Kon Yeow berkata mesyuarat tergempar DAP memutuskan Guan Eng boleh terus melaksanakan tugas sebagai Ketua Menteri dan mentadbir negeri itu kerana proses pendakwaan dihadapi beliau tidak menjejaskan pentadbiran Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat berkenaan.

Katanya: “Jawatankuasa DAP negeri memberi jaminan operasi pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa dan tidak terjejas oleh pendakwaan terhadap Guan Eng.”

13568961_1308128509217247_4127829498006408180_o

Sebelum itu, Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman mendesak Guan Eng supaya segera melepaskan jawatannya sebagai Ketua Menteri dan jawatan lain yang disandang selepas beliau dihadapkan ke Mahkamah Tinggi semalam atas dua pertuduhan rasuah.

Katanya, tindakan tersebut perlu bagi menjamin integriti jawatan terbabit.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu tetap berpegang pada pendirian presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Guan Eng tidak bersalah sehingga dibuktikan sedemikian.

Tuan Ibrahim berkata, Pas  berharap setiausaha agung DAP itu akan mendapat pembicaraan yang adil.

Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di Georgetown, atas dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu  ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang kelmarin sejurus beliau menangguhkan mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri. – Sarawakvoice.com