KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini memberi amaran bahawa keengganan ibu bapa memberi suntikan vaksin dan imunisasi yang menjadi punca merebaknya jangkitan penyakit-penyakit yang membahayakan kesihatan dan mengancam nyawa kanak-kanak boleh disifatkan sebagai satu penganiayaan kepada kanak-kanak itu sendiri.
Dengan merujuk kepada fenomena ibu bapa yang enggan memberikan suntikan vaksin atau imunisasi kepada anak-anak mereka sebagaimana yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, KPWKM dalam satu kenyataan kepada media hari ini menasihati ibu bapa agar lebih bertanggungjawab dalam pemeliharaan kanak-kanak.
“Mereka perlu mengikuti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memastikan tahap kesihatan kanak-kanak berada dalam keadaan baik.
“Sekiranya enggan, kerajaan akan mengklasifikasikan tindakan ibu bapa yang degil itu sebagai memberi mengancam nyawa dan melakukan penganiayaan kepada kanak-kanak.
Oleh itu kata kenyataan itu lagi, pihaknya boleh melaksanakan Seksyen 31, Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 611] yang menyatakan bahawa mana-mana orang yang menganiayai kanak-kanak telah melakukan suatu kesalahan.
“Dan apabila disabitkan kesalahan tersebut, mereka boleh didenda tidak melebihi RM20 ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.
Akta Kanak-kanak 2001 kata kenyataan itu, telahpun dipinda melalui Rang Undang-undang Kanak-kanak (Pindaan) 2015 dan telah diluluskan di kedua-dua Dewan Rakyat pada 6 April 2016 dan Dewan Negara pada 4 Mei 2016.
“RUUKK kini dalam tindakan untuk diwartakan dan dikuatkuasakan bagi meningkatkan hukuman bagi seksyen 31 berkenaan. – Sarawakvoice.com